Dialog dijangka jana pendapatan berulang jangka panjang daripada pengambilalihan Tarpon Systems bernilai RM5.5 juta – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Dialog dijangka jana pendapatan berulang jangka panjang daripada pengambilalihan Tarpon Systems bernilai RM5.5 juta – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Nov - Dialog Group Bhd dijangka menjana pendapatan berulang jangka panjang daripada pengambilalihan Tarpon Systems bernilai AS$1.2 juta (kira-kira RM5.5 juta), yang menjadi cabang tambahan untuk operasi huluan, menurut MIDF Research.

 

Dialog telah mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Tarpon Platform Systems Malaysia Sdn Bhd (Tarpon) dan semua aset Tarpon Systems Int II LLC (TSIL), atas dasar penjual rela beli dan harga pembelian akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman.

 

Tarpon menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, pembinaan, pemasangan dan penyelenggaraan kepada syarikat tenaga huluan, sementara TSIL memiliki harta intelek untuk sistem pengeluaran dan pembangunan bidang marginal.

 

Apabila pengambilalihan berkenaan selesai, Tarpon akan menjadi anak syarikat milik penuh Dialog, di mana ia mempunyai modal saham berbayar sebanyak RM1.4 juta yang terdiri daripada 1.4 juta saham.

 

“Disebabkan kos rendah dan penggunaan pantas Tarpon Systems, kami percaya ini akan meningkatkan kemungkinan untuk Dialog, bukan sahaja membangunkan medannya sendiri, tetapi juga menawarkan perkhidmatan untuk takungan yang terbiar,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Walaupun MIDF Research tidak menjangkakan sebarang risiko dalam tempoh terdekat ke atas proses pengambilalihan dan pelaksanaan, firma itu berkata ketersediaan dan kos buruh dan bahan, serta perubahan politik, ekonomi dan kawal selia kekal sebagai cabaran.

 

Namun begitu, firma penyelidikan itu berpendapat bahawa faktor ini boleh dikurangkan melalui usaha niaga Dialog yang lain.

 

Memandangkan kepakaran Dialog terletak dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan dalam huluan, pertengahan dan hiliran, di samping peningkatan kepelbagaian dalam operasi huluan, MIDF Research berpendapat bahawa pengambilalihan perkhidmatan penggerudian ini untuk menambah senjatanya adalah langkah yang adil.

 

“Tarpon Systems juga digunakan secara meluas untuk medan marginal bagi mengekang hidrokarbon yang biasanya terlepas daripada operasi penggerudian yang lebih besar.

 

“Menyediakan perkhidmatan untuk memanfaatkan takungan ini pada kos lebih rendah boleh menarik lebih ramai pelanggan untuk mempertimbangkan pembangunan medan-medan ini,” tambahnya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM3.28 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 24.5 kali yang ditambat pada pendapatan sesaham 2024 (EPS24) sebanyak 13.4 sen.

 

Pada pukul 9:39 pagi ini, saham Dialog tidak berubah pada RM2.20, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM12.4 bilion. - DagangNews.com