Digi Business-AVANA bantu PMKS B40 kuasai teknologi melalui 'My Digital SME 2021' | DagangNews Skip to main content

Digi Business-AVANA bantu PMKS B40 kuasai teknologi melalui 'My Digital SME 2021'

Digi Business-AVANA

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Digi Business dan AVANA  meneruskan komitmen bersama untuk menyokong perjalanan digitalisasi Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) B40 dengan pelaksanaan siri maya My Digital SME 2021 yang terbaharu. 

 

Program tersebut bertujuan memberi pemilik PMKS tempatan berkaitan pengetahuan dan alat yang dapat digunakan untuk mengekalkan perniagaan pada masa yang mencabar ini.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Digi, Eugene Teh berkata, kawalan pergerakan berterusan memaksa PMKS untuk menjalankan perniagaan dari rumah sekali gus menjadi keperluan untuk PMKS mempunyai penyambungan yang boleh dipercayai dan teknologi pintar.

 

"Justeru itu, kami memutuskan untuk meneruskan penganjuran beberapa program yang relevan umpamanya siri maya My Digital SME 2021 bersama rakan kongsi seperti AVANA. 

 

"Program ini telah direka untuk memenuhi keperluan PMKS yang mungkin tidak mempunyai banyak waktu terluang tetapi perlu belajar dan memahami dengan cepat cara memanfaatkan pelbagai alat digital untuk terus produktif disamping mengekalkan kecekapan kos perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

PMKS turut berpeluang berinteraksi bersama pakar industri dan juga rakan usahawan lain yang berjaya meneruskan perniagaan melalui pendigitalan. 

 

Antara topik yang dibincangkan semasa bengkel termasuk panduan untuk mengoptimumkan alat dalam talian dan membina pengaruh yang kuat di media sosial, kaedah untuk mengasimilasikan perniagaan dengan model e-dagang serta cara mengekalkan momentum digital untuk memperkukuhkan operasi perniagaan pada masa hadapan.

 

Digi Business dan AVANA juga bersepakat untuk membantu seramai mungkin termasuklah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO). 

 

Baru-baru ini, Digi Business dan AVANA telah membantu mendigitalkan operasi The Serum Initiative, sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk membekalkan keperluan kebersihan buat masyarakat yang terpinggir semasa pandemik dengan memberi pelan serta peranti mudah alih dan alat pemasaran media sosial.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AVANA, Yien Yee percaya bahawa pandemik yang melanda telah meluaskan lagi jurang digital dalam negara sekali gus menjadikan inisiatif seumpama itu sebagai satu keperluan demi melindungi kelangsungan perniagaan usahawan tempatan. 

 

“Walaupun kini digitalisasi merupakan satu keperluan, masih ada perniagaan di luar sana yang tidak mempunyai cara untuk mengaksesnya. 

 

"Oleh itu, melalui usaha sama dengan Digi Business, kami ingin merapatkan jurang tersebut dengan memperkenalkan penyelesaian digital yang senang diakses, supaya PMKS terus kekal kompetitif dan mampu berkembang maju meskipun setelah pandemik berakhir," tambahnya.

 

Selain daripada bekerjasama untuk My Digital SME, tawaran e-dagang AVANA juga merupakan sebahagian dari pakej GoDigital istimewa Digi Business, iaitu pakej transformasi digital menyeluruh yang ditawarkan oleh Digi kepada pelanggan PKS mereka. - DagangNews.com