AMAM, FPMPAM gesa kerajaan naikkan cukai dan harga minimum rokok dalam Bajet 2025 | DagangNews Skip to main content

AMAM, FPMPAM gesa kerajaan naikkan cukai dan harga minimum rokok dalam Bajet 2025

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - Persatuan Perubatan Ketagihan Malaysia atau Addiction Medicine Association Malaysia (AMAM) dan Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), badan kebangsaan yang mewakili doktor swasta Malaysia, menggesa kerajaan menaikkan cukai eksais dan harga minimum rokok.

 

FPMPAM berkata, dengan menaikkan cukai eksais dan harga minimum rokok, ia akan membantu mengekang penggunaan tembakau, meningkatkan hasil kerajaan serta mengumpul dana untuk inisiatif kawalan tembakau.

 

Presiden FPMPAM, Dr Shanmuganathan Ganeson menggesa kerajaan menaikkan harga minimum rokok yang kekal tidak berubah pada RM12 sebungkus sejak 2020.

 

"Dengan menaikkan harga minimum kepada paras yang lebih tepat iaitu RM13 atau RM13.50 sekotak, ia akan membantu mengukuhkan keberkesanan langkah kawalan tembakau dan seterusnya mengurangkan kadar merokok.

 

"Peningkatan cukai eksais ke atas rokok juga penting bagi mencapai matlamat kesihatan awam negara kita. 

 

"Cukai yang lebih tinggi telah terbukti dapat mengurangkan kelaziman merokok, terutamanya dalam kalangan belia dan kumpulan berpendapatan rendah, yang paling terdedah kepada kesan berbahaya tembakau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata,  dengan peningkatan harga itu, ia boleh mengurangkan penggunaan secara berkesan, menghalang perokok baharu menerusi tabiat itu dan menyokong hasil kesihatan jangka panjang untuk penduduk. 

 

Katanya, langkah itu bukan sahaja mengenai hasil, ia adalah langkah yang kritikal dalam memerangi penyakit berkaitan daripada tabiat merokok.

 

“Kerajaan harus mempertimbangkan pelaksanaan cukai berstruktur dan boleh diramal bagi meningkatkannya setiap tahun pada kadar tetap. 

 

"Pendekatan ini menyediakan kaedah jangka panjang dan mampan dalam mengurangkan penggunaan tembakau dan mengukuhkan objektif kesihatan awam kami," katanya.

 

Presiden AMAM, Dr. Steven Chow juga menggesa kerajaan untuk memasukkan pelarasan itu dalam Bajet 2025.

 

"Langkah-langkah ini adalah langkah penting ke arah mengurangkan kadar merokok dan meningkatkan hasil kesihatan awam di Malaysia. 

 

"Tindakan ini, digabungkan dengan usaha kawalan tembakau yang lebih luas akan membantu melindungi generasi akan datang daripada kesan bahaya merokok dan sejajar dengan komitmen negara untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.- DagangNews.com