Proton yakin e.MAS 7 bakal jadi EV terlaris Malaysia | DagangNews Skip to main content

Proton yakin e.MAS 7 bakal jadi EV terlaris Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong (empat dari kiri) bersama Roslan (tiga dari kiri) melancarkan Jelajah Proton e.MAS 7 di Shah Alam - Gambar hiasan dari Facebook rasmi Proton e.MAS Cars
Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 23 Sept - Proton yakin program Jelajah Proton e.MAS 7 akan membantu mencapai matlamat utamanya menjadikan model itu sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, jelajah ke seluruh negara yang bermula pada 5 Oktober 2024 sehingga awal November itu akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyaksikan model EV pertama Proton itu dengan lebih dekat.

 

"Selain memberi akses kepada rakyat Malaysia menyaksikan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C dengan lebih dekat, jelajah itu akan menunjukkan daya tahan model itu dengan memperlihatkan ketahanan baterinya, badan dan kabin yang mantap," katanya, lapor Bernama.

 

Sementara itu, Proton dalam satu kenyataan berkata, pelancaran jelajah itu juga menandakan kejayaan perjalanan panjang jelajah dunia pandu uji E5 Geely dan kini  memulakan lembaran baharu inovasi serta menjelajah ke seluruh Malaysia.

 

"Jelajah Proton e.MAS 7 menyasar penglibatan rakyat Malaysia, menawarkan peluang unik untuk merasai sendiri pengalaman dengan kenderaan itu memandangkan ia meliputi lebih 2,000 kilometer merentas kepelbagaian rupa bumi, daripada jalan pesisir pantai ke kawasan pergunungan," katanya. 

 

Menurut kenyataan itu, pusingan pertama jelajah itu akan diadakan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebelum ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.

 

"Selepas itu ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis, diteruskan melalui Kuala Lumpur dan Selangor, sebelum ke Malaysia Timur bermula di Sabah dan berakhir di Sarawak," katanya.

 

Proton turut berkata, strateginya adalah untuk meluaskan penerimaan EV dan mengukuhkan ekosistem tempatan, dengan mewujudkan perkongsian strategik serta berkongsi ilmu untuk menangani kebimbangan berkaitan sektor itu.

 

Menurut Proton, kerjasamanya dengan Geely Berjaya membangunkan Proton e.MAS 7 selari dengan Geely E5, menggabungkan teknologi bertaraf dunia dalam penyelesaian mampan yang disesuaikan khusus bagi rakyat Malaysia.

 

"Berdasarkan ketahanan dan kebolehpercayaan yang ditunjukkan Geely E5 ketika perjalanan sejauh 3,700 kilometer dari China ke Malaysia, Proton e.MAS 7 direka untuk mengharungi pelbagai keadaan," ujarnya.- DagangNews.com