OLEH NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 22 Sept – Transformasi digital AirAsia dijangka terus meraih momentum yang kuat selepas tiga cabang syarikat penerbangan berkenaan memanfaatkan revolusi teknologi menerusi pendigital dan data.
Presiden AirAsia Group Bhd. (AAGB), Aireen Omar berkata, fokus utama syarikat ketika ini adalah bagi menerapkan revolusi digital di ketiga-tiga Asia Digital Engineering (ADE), Ground Team Red (GTR) dan Teleport di samping memacu inovasi di seluruh portfolio syarikat.
“Seperti yang sedia maklum, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada operasi syarikat untuk tempoh 18 bulan yang lepas, namun ia juga telah membentuk semula tingkah laku pengguna dan AAGB amat teruja dengan masa depan kesemua perniagaan digital syarikat.
“Covid-19 telah menyebabkan lonjakan permintaan yang besar untuk penghantaran kargo dan beli-belah dalam talian. Ini sekali gus mendorong banyak peluang perniagaan baharu dan aliran pendapatan.
“Sebagai jenama yang selalu mempunyai inovasi dalam DNAnya, kami melihat ini sebagai satu potensi besar, bukan hanya dalam penyelesaian aplikasi Super App AirAsia dan fintech kami, tetapi juga di bahagian logistik, penyelenggaraan pesawat dan perkhidmatan darat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya aplikasi Super App Air Asia kini berada di landasan yang betul bagi menjadi platform pilihan bagi memenuhi keperluan perjalanan dan gaya hidup Asean.
Aireen berkata, sayap kejuruteraan AAGB, ADE dijangka akan merevolusikan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di Asia manakala bahagian logistiknya, Teleport mencatatkan pertumbuhan yang ketara sejajar dengan permintaan yang tinggi untuk kargo dan penghantaran dalam talian.
Menurutnya lagi, GTR kini bersedia untuk pengembangan serantau yang kukuh termasuk dengan syarikat penerbangan pihak ketiga sebaik sahaja sekatan perjalanan dan sempadan antarabangsa dibuka semula.
“Yang penting, AirAsia bukan sekadar syarikat penerbangan lagi. Matlamat kami adalah untuk menjadi kumpulan pengedaran digital paling disukai, menguntungkan dengan kos paling rendah di Asia Tenggara,katanya. – DagangNews.com