Dijangka catat prestasi stabil pada Q4, CGS-CIMB ulangi saranan 'tambah' saham Malakoff | DagangNews Skip to main content

Dijangka catat prestasi stabil pada Q4, CGS-CIMB ulangi saranan 'tambah' saham Malakoff

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - CGS-CIMB menjangkakan Malakoff Corp. Bhd. akan mencatat pendapatan yang lebih stabil pada suku keempat ini meskipun mencatat hasil yang lebih rendah bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 (9M21). 

 

Pada tempoh itu, hasilnya susut 5.1% kepada RM4.52 bilion daripada RM4.76 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala untung bersih meningkat kepada RM245.34 juta daripada RM244.94 juta. 

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 pula, Malakoff merekodkan hasil sebanyak RM1.58 bilion, meningkat 6.8% daripada RM1.48 bilion bagi tempoh sama tahun lalu manakala untung bersih meningkat kepada RM67.16 juta daripada RM50.8 juta. 

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, keuntungan bersih teras 9M21 Malakoff adalah melebihi jangkaan, pada 85% daripada ramalannya dan 83% daripada unjuran tahun penuh konsensus Bloomberg.

 

Ini terutamanya disebabkan margin kasar yang lebih tinggi daripada jangkaan membabitkan margin bahan api yang lebih baik dan pendapatan kapasiti lebih tinggi daripada Tanjung Bin Energy (TBE).

 

"Oleh itu, kami menaikkan anggaran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 antara 3 hingga 5% bagi mencerminkan margin kasar yang lebih baik dan juga pelaksanaan Cukai Makmur," katanya. 

 

Menurut beliau, pengambilalihan Alam Flora telah mewujudkan peluang yang sinergi untuk membangunkan projek sisa buangan kepada tenaga (WTE) dan kumpulan sedang meneroka untuk mengembangkan perniagaan seperti pengurusan kemudahan pembuangan sisa berbahaya dan buangan daripada pelabuhan. 

 

"Selain itu, kumpulan juga sedang meneroka pembabitannya dalam projek tenaga diperbaharui (RE) di peringkat domestik sejajar dengan hasrat kumpulan meningkatkan penggunaan RE kepada 31% daripada campuran penjanaan tenaga menjelang 2025.

 

"Dalam hal ini, kumpulan menetapkan untuk mencapai sasaran RE sebanyak 1,000MW dalam tempoh jangka masa sederhana," tambahnya.

 

Firma itu mengulangi saranan 'tambah' bagi saham Malakoff dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.05. 

 

Katanya, ini berdasarkan kepada profil pendapatan yang dijangka meningkat berikutan keuntungan yang lebih kukuh disumbangkan menerusi Alam Flora dan juga kos kewangan lebih rendah. 

 

"Pada masa sama, nisbah penggearan juga susut 2x setakat akhir FY18 kepada 1.5x pada akhir FY20 dan mempamerkan hasil dividen yang lumayan melebihi 5% bagi FY21-FY23," jelasnya. 

 

Setakat 10.45 pagi, harga saham Malakoff susut 0.05 sen atau 0.66% kepada 75 sen dengan 668,700 saham diniagakan. - DagangNews.com