REVOLUSI Industri Keempat (4IR) sering menjadi bahan ucapan pemimpin-pemimpin kita dari kerajaan mahu pun dari sektor swasta.
Kita telah mengiktiraf potensi revolusi ini dalam mendorong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan produktiviti dan daya saing.
Inisiatif-inisiatif kerajaan seperti Dasar Kebangsaan Industri 4.0 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital telah dilancarkan untuk menjadi garis dasar pelaksanaan kerajaan dalam penggunaan teknologi baru seperti AI, Internet Benda (IoT), mesin pembelajaran, robotik, dan sebagainya.
Usaha-usaha ini bersesuaian untuk memastikan peralihan revolusi ini memberi manfaat dan bukan sebaliknya. Peralihan ke revolusi Industri Keempat adalah paling pantas dalam sejarah.
Perubahan mendadak dari Revolusi Industri Ketiga yang berasaskan kuasa perkomputeran dan semikonduktor kepada revolusi berasaskan kecerdasan ini memangkinkan penggunaan teknologi bersifat disruptive dan decentralized.
Sekitar hujung tahun 1980-an dan awal 1990-an, Malaysia pernah digelar sebagai satu daripada negara berpotensi Harimau Ekonomi Asia. Istilah ini mengacu pada negara-negara Asia yang mengalami pertumbuhan ekonomi pesat pada waktu itu seperti Korea Selatan, Singapura dan Taiwan.
Pelaburan asing yang besar dan ketersediaan tenaga kerja yang relatif murah memudahkan sektor pembuatan berkembang, sekaligus menyediakan peluang pekerjaan yang besar.
Waktu itu, kita pernah mendengar terma ‘Mat dan Minah kilang’ di mana rata-ratanya bermigrasi dari kampung ke kawasan perindustrian untuk mencari rezeki yang agak lumayan. Lebih-lebih lagi dalam subsektor pembuatan elektrik dan elektronik.
Sehinggakan, bandar-bandar baru seperti Bayan Lepas, Senawang, Kulim dan Sungei Way penuh berpopulasi. Kebergantungan ekonomi Malaysia kepada sektor ekonomi pembuatan masih tinggi dengan sumbangan 23.4% kepada KDNK negara.
Subsektor pembuatan elektronik dan elektrikal sahaja menyumbang 36% jumlah eksport negara. Apa yang dirisaukan adalah perubahan industri sekarang lebih dipacukan oleh teknologi bersifat disruptive dan decentralized ini, yang mana Malaysia masih belum betul-betul bersedia, termasuklah dalam sektor pembuatan.
‘Mat dan Minah kilang’ kini diganti dengan robot dan automasi, sekaligus menurunkan jumlah peluang pekerjaan kerana telah diganti dengan mesin yang ternyata lebih cekap, cerdas dan kalis kesalahan.
Pekerjaan yang ada pula lebih tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dan bersifat service-oriented yang memakan masa untuk disediakan. Juga, kesan dari China yang menyertai WTO pada tahun 1990an di mana pelabur-pelabur dari ekonomi barat mengubah lokasi fasiliti-fasiliti pembuatan kos rendah mereka ke China, yang mana kos tenaga kerjanya lebih murah.
Trend ini dinamakan ahli ekonomi sebagai premature deindustrialization. Kemerosotan ini memberi impak negatif kepada ekonomi Malaysia dan memperlambatan pertumbuhan ekonomi yang kita kini sedang rasakan.
Kita belum sempat mendapatkan keuntungan yang optimal dari sektor pembuatan dan terpaksa berganjak ke revolusi baru mengikut permintaan pasaran. Trend ini banyak terjadi di kalangan negara-negara ekonomi yang baru berkembang.
Di sini, peranan kerajaan dalam mengubal dasar dan pelaksanaan yang telus dan berintegriti amatlah penting. Mengambil contoh negara-negara yang dikatakan Harimau Ekonomi Asia dahulu yang mana mereka juga merupakan negara-negara membangun di sekitar tahun 1980-an.
Merujuk kepada data World Bank, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia berada dalam kelompok ekonomi yang sama dengan KDNK per kapita di antara ASD$1,000 ke AS$2,500 pada tahun 1980.
Singapura terkecuali kerana pada masa itu telahpun mencapai lebih AS$7,000, jelas hasil dari kepantasan mengadaptasi dengan perubahan industri.
Apa resepi mereka dapat merubah premature deindustrialization kepada positive deindustrialization? Mereka mengubal strategi yang memastikan teras inovasi dalam mereka-cipta produk dan hak harta intelek itu berada di negara mereka sendiri.
Sewaktu kita meraih kesempatan meningkatkan ekonomi dalam sektor pembuatan berkos rendah, Korea Selatan dan Taiwan telah mula mengorak langkah ke arah penciptaan berdaya saing tinggi.
Mereka fokus kepada pembangunan syarikat-syarikat yang pada mulanya bersaiz kecil dan sederhana, tetapi kini sudah berada antara gergasi-gergasi antarabangsa Fortune 500 seperti Acer, Asus, Samsung dan LG.
Kesannya, Korea Selatan dan Taiwan kini mempunyai KDNK per kapita tiga kali lebih besar dari Malaysia. Bezanya di Malaysia, syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana terpaksa mengEhadkan diri mereka dengan aktiviti-aktiviti pengeluaran yang menjadi sebahagian dari proses rantai bekalan (supply chain) pelanggan antarabangsa mereka.
Kurang sekali peluang buat mereka mengepalai inovasi. Walau bagaimanapun, ada syarikat-syarikat tempatan di dalam subsektor pembuatan elektronik dan elektrik yang berjaya berinovasi seperti Vitrox, Inari dan Aemulus.
Kita memerlukan lebih banyak lagi syarikat-syarikat sebegini yang mana ada pasaran dunia memerlukan mereka untuk melengkapkan proses pembangunan produk yang berdaya saing tinggi.
Dasar-dasar yang dapat membantu syarikat-syarikat sebegini adalah penting untuk melonjak dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem sektor pembuatan antarabangsa.
Peluang pekerjaan di sektor pembuatan kini semakin menjurus ke arah kemahiran tinggi. Walaupun jumlah pekerja berkurangan kerana diganti dengan mesin dan robot, permintaan terhadap jurutera, juruteknik dan kepakaran dalam bidang automasi, kecerdasan buatan dan analitik data sangat tinggi.
Kemahiran ini diperlukan untuk mengawal selia dan mengoperasi mesin dan robot tersebut. Negara-negara maju telah lama menitik-beratkan kurikulum pemikiran berkomputasi dan penyelesaian masalah dari bangku sekolah rendah lagi.
Kita nampak kesan-kesan positif jangka panjang terhadap ekonomi dengan adanya integrasi pendidikan ini seperti yang berlaku di Korea Selatan, Taiwan dan China.
Kita masih belum terlambat lagi. Penggunaan teknologi tinggi harus dipercepatkan untuk mempertingkatkan produktiviti.
Kejayaan yang telah ada dalam sektor pembuatan, lebih lebih lagi dalam subsektor pembuatan elektronik dan elektrik harus dirujuk dan dilaksana ke subsektor pembuatan yang lain.
Banyak industri baru yang memerlukan kemahiran tambah nilai seperti tenaga boleh diperbaharui (RE), teknologi revolusi bio, next-generation materials dan sebagainya.
Penambahbaikan juga harus dilakukan kepada sektor-sektor lain contohnya sektor perkhidmatan global yang mana keupayaan Malaysia jelas dapat mempelbagaikan ekonomi negara.
Yang lebih penting, akar umbi kita seawal pendidikan haruslah bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran baru yang sememangnya sukar diramalkan.
Kita harus mengurangkan kebergantungan tenaga mahir luar untuk mengepalai syarikat-syarikat di Malaysia. Malaysia mahu menjadi negara maju selewatnya pada tahun 2030.
Kayu ukurnya datang dari produktiviti yang tinggi, produk dan perkhidmatan berkualiti dan pembayaran gajian yang setaraf dengan negara-negara maju lain.
Pendekatan pelaburan principle-based yang mementingkan tenaga kerja tambah nilai berkemahiran tinggi harus diutamakan.
Pasa masa yang sama, kita harus bersedia dengan infrastruktur, logistik, regulasi yang memudahkan dan tenaga kerja yang berdaya saing.
Semoga usaha-usaha strategik Malaysia dalam menangani premature deindustrialization ini terus berjaya.
Semoga ucapan pemimpin-pemimpin kita tatkala melaungkan Revolusi Industri Keempat akan menjadi lebih relevan. - DagangNews.com
Norhizam Kadir berpengalaman luas di dalam sektor awam dan swasta. Beliau kini menjalankan sebuah perniagaan konsultansi. Beliau sering tertarik dan kadangkala tersenyum dengan telatah politik negara dan sentiasa berharap Malaysia akan segera menjadi sebuah negara maju.