Dinamik operasi dijangka terus memihak kepada pengeluar sarung tangan disokong permintaan lebih baik | DagangNews Skip to main content

Dinamik operasi dijangka terus memihak kepada pengeluar sarung tangan disokong permintaan lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Dinamik operasi dijangka terus memihak kepada pengeluar sarung tangan disokong keterlihatan permintaan yang lebih baik, rasionalisasi bekalan dan penstabilan purata harga jualan (ASP).

 

RHB Investment berkata, kadar pengeluaran semasa mencatatkan peningkatan positif dengan jumlah pesanan pada separuh kedua dijangka lebih tinggi berbanding suku pertama 2024.

 

"Kami menjangkakan pemulihan permintaan yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini serta peningkatan ASP akan memacu keuntungan kepada pembuat sarung tangan pada tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ASP sarung tangan kini berada antara AS$20 hingga AS$21 bagi setiap 1,000 keeping berbanding AS$ pada suku pertama 2024 dan berdasarkan semakan mereka, ASP pembuat sarung tangan China berada antara AS$17 hingga AS$18  berbanding AS$15 hingga AS$16 pada suku pertama.

 

"Kami berpendapat jurang ASP yang semakin mengecil bermakna perang harga yang berpanjangan menghampiri penghujungnya, yang akhirnya membolehkan pengeluar Malaysia untuk bersaing melalui kualiti produk dan bukannya harga," katanya.

 

RHB Investment berkata, jumlah jualan yang lebih tinggi secara berturutan daripada dinamik permintaan penawaran yang lebih seimbang seharusnya membawa kepada peningkatan dalam keuntungan pembuat sarung tangan pada tahun ini.

 

Katanya, memandangkan lebihan kapasiti industri semakin berkurangan, seharusnya melihat industri mencapai keseimbangan permintaan penawaran menjelang akhir 2024.

 

"Kami juga menjangkakan risiko persaingan harga daripada rakan sebaya China akan berkurangan secara beransur-ansur, berdasarkan kebimbangan kualiti yang mengakibatkan kadar penolakan yang lebih tinggi daripada Pentadbiran Makanan & Ubat-ubatan AS (US FDA), dan pendirian pemain China ke arah kemampanan .

 

"Pengumuman peningkatan tarif 25% baru-baru ini ke atas sarung tangan gred perubatan buatan China dijangka mengakibatkan lencongan perdagangan terhadap produk buatan Malaysia," katanya.

 


Hartalega dijangka menjadi penerima manfaat utama kerana pendedahan perniagaan terbesarnya kepada Amerika Utara yang menyumbang 50% daripada pendapatannya. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com