Distinctive World lancar projek kediaman TuJu @ Duta North dengan GDV RM750 juta | DagangNews Skip to main content

Distinctive World lancar projek kediaman TuJu @ Duta North dengan GDV RM750 juta

(Dari kiri) Lim Ech Chan, Datuk Dr David Koh, Monica Lai dan Chan Chee Kian ketika majlis pelancaran TuJu @ Duta North bersama media di ibu negara pada 27 Februari 2024. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Pemaju hartanah, Distinctive World Sdn Bhd melalui usaha sama antara Distinctive Capital Sdn Bhd dan Eccaz Sdn Bhd melancarkan projek kediaman TuJu @ Duta North dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM750 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Distinctive World, Lim Ech Chan berkata, menara berkembar 41 tingkat itu bakal menjadi mercu tanda Duta North, dengan 932 unit pangsapuri servis  yang mempunyai ciri-ciri konfigurasi dan keselesaan.

 

Beliau berkata, projek itu terletak di lokasi strategik yang menawarkan akses terus ke pusat bandar melalui Jalan Kuching dan ke rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Duke, Lebuhraya PLUS, Lebuhraya SPRINT, Lebuhraya Baru Lembah Klang, Damansara Link dan Penchala Link.

 

Katanya, TuJu @ Duta North merupakan projek dirancang dan direka bentuk dengan teliti untuk memenuhi keperluan serta kehendak generasi baru sambil memelihara nilai-nilai kekeluargaan. 

 

"Projek kediaman itu telah menerima sebanyak 30% tempahan, yang mana ia dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2027. Ia menawarkan keluasan 710 hingga 1,442 kaki persegi dengan harga bermula RM400,000 hingga RM1 juta.

 

"TuJu menawarkan 10 pilihan reka bentuk berbeza untuk pilihan para pembeli mengikut keperluan keluarga. Susun atur unit kediaman yang direkabentuk boleh dikonfigurasikan dan ini merupakan fleksibiliti yang jarang ditemui dalam tawaran pemaju lain.

 

"Misalnya, unit kediaman dua bilik kami boleh dikonfigurasikan menjadi tiga bilik. Sebaliknya, bagi mereka yang memerlukan ruang yang lebih besar, unit kediaman tiga bilik kami boleh dikonfigurasikan menjadi dua bilik,” katanya pada majlis pelancaran TuJu @ Duta North bersama media di sini hari ini.

 

 

tuju
Lim Ech Chan

 

 

Turut hadir Pengarah Distinctive World, Datuk Dr David Koh; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eccaz, Monica Lai dan Pengarah Eksekutif Distinctive World, Chan Chee Kian.

 

Monica pula berkata, projek itu menyediakan lebih daripada 50 kemudahan dan pihaknya memastikan kemudahan-kemudahan tersebut adalah selamat untuk dinikmati oleh kanak-kanak dan mesra untuk warga emas.

 

 

tuju

 

 

TuJu adalah projek mesra kenderaan elektrik (EV) yang mana infrastruktur EV diperuntukkan dalam ringkasan reka bentuk untuk menggalakkan pembangunan yang mampan. 

 

"Tempat letak kereta kami adalah mesra EV, pemilik boleh memohon untuk memasang pengecas dinding EV mereka sendiri tertakluk kepada syarat dan kelulusan pihak berkenaan," katanya.

 

 

tuju

 

 

Beliau turut menekankan ciri-ciri mesra warga emas bagi unit-unit kediaman tertentu yang boleh dihubungkan dengan unit-unit kediaman bersebelahan untuk kehidupan berbilang generasi.

 

"Kami juga menawarkan unit-unit kediaman mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kemudahan khusus seperti bilik mandi yang boleh diakses dengan kerusi roda dan dilengkapi dengan butang kecemasan. Selain itu, butang kecemasan turut disediakan di kawasan-kawasan awam dan tempat letak kereta," katanya.

 

 

tuju

 

 

Sementara itu, TuJu menawarkan gabungan ruang komersial dan unit kediaman di Menara A dan Menara B setinggi 41 tingkat berserta Blok Annexe.

 

Menara A dan Menara B menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi di Aras 6 dan 41, termasuk bilik permainan, ‘sky-dining’, teater, bilik komputer dan ruang membaca.

 

 

tuju

 

 

 

 

Blok Annexe pula menyediakan kemudahan tempat letak kereta di samping ruang komersial dan pelbagai kemudahan rekreasi lain di Aras 9 seperti Workout Terrace, gelanggang bola keranjang, gelanggang badminton, dewan serbaguna dan lain-lain. 

 

Kawasan hijau seluas 76,000 kaki persegi itu turut menempatkan kolam renang infiniti sepanjang 50 meter berserta ruang istirahat terapung. - DagangNews.com