DKSH dan Alpro Pharmacy jalin kerjasama strategik bagi meningkatkan aksesibiliti penjagaan kesihatan Malaysia | DagangNews Skip to main content

DKSH dan Alpro Pharmacy jalin kerjasama strategik bagi meningkatkan aksesibiliti penjagaan kesihatan Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Ogos - DKSH Healthcare, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan terkemuka di Asia, bekerjasama strategik dengan Alpro Pharmacy, rangkaian farmasi preskripsi terbesar di Malaysia bagi memperluaskan akses ubat-ubatan di seluruh negara. 

 

Selain daripada membantu pesakit menangani cabaran kos yang mampu milik dan meningkatkan kesejahteraan pesakit, perkongsian itu juga selaras dengan visi dan inisiatif Alpro Pharmacy melalui ONCOHelp, sebuah pusat sehenti untuk pesakit kanser di seluruh Malaysia.

 

Menurut kenyataan bersama hari ini, kedua-dua ihak itu berkata, kerjasama tersebut juga meningkatkan kesejahteraan pesakit Talasemia, mengukuhkan landskap penjagaan kesihatan di Malaysia. 

 

Menerusi perjanjian itu, DKSH memperkenalkan program akses pesakit (PAP) di farmasi-farmasi Alpro terpilih, menyediakan sokongan kewangan kepada pesakit yang memerlukan rawatan penting.

 

"Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha DKSH untuk mengukuhkan sokongan terhadap pesakit di rantau Asia Pasifik, membantu mereka mengatasi cabaran dalam perjalanan rawatan, termasuk aspek aksesibiliti, Pendidikan dan kemudahan," ujarnya. 

 

Katanya, kerjasama itu juga melibatkan pengembangan rangkaian penyelesaian pesakit DKSH di Malaysia, yang kini beroperasi di lapan pasaran Asia Pasifik. 

 

Dengan memudahkan akses kepada ubat-ubatan di farmasi Alpro, DKSH dan Alpro Pharmacy berhasrat untuk meningkatkan kepatuhan rawatan dan hasil kesihatan keseluruhan bagi pesakit.

 

Ketua Pegawai Farmaseutikal ONCOHelp di Alpro Pharmacy, Joelle Wong Pei Sen berkata, dengan sokongan DKSH syarikat dapat memperluaskan aksesibiliti penjagaan kesihatan dan memperbaiki kualiti hidup ramai pesakit di Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Pengurusan Negara dan Naib Presiden Penjagaan Kesihatan DKSH Malaysia, Sandeep Tewari menegaskan kerjasama itu adalah sebahagian daripada misi DKSH untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui penyelesaian penjagaan kesihatan yang lebih baik. 

 

"Melalui PAP, kami berusaha untuk memastikan ubat-ubatan penting lebih mudah diakses oleh pesakit di seluruh negara, memastikan setiap individu mendapat penjagaan yang mereka perlukan," ujarnya.- DagangNews.com