DKSH luaskan jalinan kerjasama dengan Disposable Soft Good di Malaysia | DagangNews Skip to main content

DKSH luaskan jalinan kerjasama dengan Disposable Soft Good di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - Unit Pernigaan Penjagaan Kesihatan DKSH memeterai perjanjian dengan Disposable Soft Goods (DSG) untuk mengedarkan lampin bayi jenama Petpet dan lampin dewasa Certainty di Semenanjung Malaysia.

 

Perjanjian itu adalah pengembangan pengedaran sedia ada antara kedua-dua syarikat, yang bermula di Sabah dan Sarawak pada 2019.

 

Sejak itu, DKSH telah berjaya mengukuhkan kehadiran jenama dan terbukti sebagai rakan kongsi dipercayai.

 

Menerusi perjanjian baharu itu, DKSH Malaysia menyediakan perkhidmatan penuhnya termasuk pemasaran dan jualan, pengedaran dan logistik, kredit dan kutipan serta perkhidmatan pemasaran di lapangan.

 

Perkongsian baharu itu akan meliputi keseluruhan rangkaian produk di bawah jenama Petpet dan Certainty yang akan disediakan untuk pembelian di semua saluran perdagangan moden dan am di Malaysia seperti pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan farmasi.

 

Pengarah Urusan Disposable Soft Goods (M) Sdn. Bhd., Khoo Teck Wooi berkata, rekod prestasi DKSH yang terbukti sebagai rakan kongsi strategik telah membawa kepada pengembangan perkongsian itu.

 

"Kami yakin rangkaian pengedaran DKSH yang luas dan kepakaran pemasaran serta jualan akan membantu mengukuhkan lagi jenama kami dan hubungan sebagai rakan kongsi perniagaan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengurusan Ketua Negara dan Naib Presiden FMCG, DKSH Malaysia, Puneet Mishra berkata, pihaknya berbesar hati untuk meningkatkan hubungan perniagaan dengan syarikat terkemuka seperti DSG. 

 

"Dengan jangkauan luas kami merentasi saluran komersial yang berbeza, kami komited untuk menyokong DSG dalam mengembangkan kehadiran jenama mereka dan memenuhi permintaan pengguna Malaysia," katanya. - DagangNews.com