DNB, Ericsson jalin kerjasama lancar pusat pengalaman 5G terbesar di Malaysia | DagangNews Skip to main content

DNB, Ericsson jalin kerjasama lancar pusat pengalaman 5G terbesar di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Digital Nasional Berhad (DNB) melancarkan pusat pengalaman 5G yang terbesar di negara dengan kerjasama rakan kongsi utama, Ericsson bagi meningkatkan kesedaran dan memacu penerapan teknologi selular tanpa wayar generasi kelima.

 

Pusat pengalaman dinamakan ‘My5G Portal’ itu mewujudkan satu persekitaran interaktif dan imersif buat pelawat untuk mempelajari, mengalami dan memahami impak teknologi 5G terhadap perusahaan dan pengguna.

 

Penglibatan Ericsson menonjolkan kepimpinan teknologi, inovasi serta komitmennya untuk membina ekosistem 5G di Malaysia. 

 

Pusat itu akan berfungsi sebagai hab pembelajaran untuk para pelanggan, rakan kongsi, industri, ahli akademik dan pegawai kerajaan bagi memahami potensi teknologi 5G, dengan menunjukkan nilai produk dan perkhidmatan 5G melalui demonstrasi langsung dan pameran teknologi.

 

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, dengan menyediakan satu platform untuk pendidikan, inovasi, kerjasama dan demonstrasi keupayaan 5G, pusat pengalaman My5G Portal akan bertindak sebagai pengupaya untuk transformasi digital Malaysia. 

 

"Menerusi portal ini, pihak berkepentingan dan pengguna akan menyaksikan nilai sebenar 5G, yang mampu memacu minat, pelaburan dan penerapan teknologi 5G secara meluas," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Ketua Pegawai Strategi DNB, Datuk Ahmad Zaki Zahid, ‘My5G Portal’ menyediakan pengalaman praktikal untuk merungkai kuasa 5G dan memupuk penghayatan terhadap teknologi berkenaan. 

 

 

dnb

 

 

"Bermula dengan gambar keseluruhan tentang bagaimana sambungan 5G dapat merealisasikan visi masa depan kita, anda kemudian akan mempelajari tentang apa yang diperlukan untuk membina rangkaian 5G, berbekalkan sokongan rakan kongsi utama kami, Ericsson. 

 

"Selaras dengan sumbangan sosio-ekonominya sebagai penyedia peralatan rangkaian DNB, Ericsson turut berkongsi kepakaran dan teknologinya bagi membantu kami mewujudkan satu persekitaran yang interaktif dan imersif," katanya.

 

Sebagai rakan kongsi utama, Ericsson telah berkongsi pengalaman globalnya dalam menubuhkan, mereka bentuk, dan mengendalikan pusat pengalaman tersebut, yang kesemuanya akan menyumbang kepada penghasilan pengalaman pelanggan yang bermakna buat pelawat.

 

Beberapa kes kegunaan 5G yang dipamerkan di My5G Portal, termasuk hologram, ambulans bersambung, kamera pengawasan pintar (dengan kerjasama Axis), komunikasi kritikal misi, 5G untuk perusahaan bersambung, Pendidikan 5G, Akses Tanpa Wayar Tetap (FWA) dan Pemanduan Jarak Jauh 5G. 

 

Liputan 5G di kawasan berpenduduk di Malaysia adalah sekitar 70.2% dan disasarkan untuk mencapai 80% menjelang akhir tahun. - DagangNews.com