DNB pelawa 8 syarikat kemuka tender bina infrastruktur 5G | DagangNews Skip to main content

DNB pelawa 8 syarikat kemuka tender bina infrastruktur 5G

 

KUALA LUMPUR 12 April – Digital Nasional Berhad (DNB) dilaporkan telah mempelawa 8 syarikat telekomunikasi untuk mengemukakan tender bagi membina infrastruktur 5G.

 

Antara syarikat-syarikat itu ialah Samsung, Ericsson, Huawei, ZTE, Cisco, NEC, Nokia dan FiberHome dan mereka diminta menyatakan pandangan mereka mengenai pembinaan rangkaian 5G di Malaysia serta mencadangkan penyelesaian end-to-end.

 

Memetik laporan The Edge,  DNB telah menekankan kepentingan penyertaan syarikat tempatan kepada syarikat multinasional ini dan system pengurusan tender yang ketat bagi memastikan kawal selia jitu sepanjang proses tender, termasuk prosedur tadbir urus yang akan dipantau oleh jawatankuasa tender.

 

Vendor-vendor berkenaan akan dinilai mengikut kriteria termasuk kecekapan teknikal, keupayaan menyepadukan syarikat telekomunikasi sedia ada, rumusan kewangan inovatif dan kemampuan menyokong pembangunan vendor tempatan.

 

Satu lagi sumber memberitahu bahawa proses tender itu dijangka dimuktamadkan pada pertengahan tahun ini dan syarikat yang dilantik akan memulakan pelaksanaan 5G seberapa cepat kemudiannya.

 

Mengikut laporan itu lagi, DNB menyasarkan liputan 5G di Putrajaya, Cyberjaya dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur menjelang akhir tahun ini. Perluasan ke 17 bandar utama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan dilakukan pada 2022 dan 2023.

 

Berbeza daripada kaedah tradisional memperuntukkan spektrum terus kepada syarikat telekomunikasi, kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk menganugerahkan spektrum 5G iaitu 700MHz, 3500MHz dan 28GHz terus kepada DNB. Langkah itu bertujuan mengurangkan kos dikaitkan dengan lelongan bida dan menyegerakan pelaksanaan 5G.

 

Maka itu, syarikat telekomunisi iaitu Maxis, Celcom, Digi, TM, U Mobile dan Yes akan menawarkan perkhidmatan 5G menerusi perjanjian wholesale dengan DNB. Menurut MCMC, pendekatan ini akan mengurangkan beban pelaburan 5G ke atas syarikat telekomunikasi supaya boleh menumpu kepada usaha menambah baik liputan 4G di bawah pelan JENDELA. – DagangNews.com