KUALA LUMPUR 29 Feb - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) mencatat pendapatan sebanyak RM283.7 juta pada suku keenam tahun kewangan 2023 (6QFY23).
Dalam suku itu juga, DNeX melaporkan kerugian bersih sebanyak RM14.6 juta.
Menurut Kumpulan itu, bahagian Teknologi DNeX kekal sebagai penyumbang hasil utama pada suku tersebut dengan menyumbang RM145.4 juta atau 51 peratus daripada jumlah hasil, berbanding RM157.2 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya (Q5FY23).
Prestasi yang lebih perlahan ini disebabkan terutamanya oleh jumlah penghantaran wafer yang lebih lemah.
Sumbangan daripada bahagian Tenaga dan Teknologi Maklumat (IT) pula masing-masing berjumlah 34 peratus dan 14 peratus.
Bahagian Tenaga mencatatkan pendapatan RM97.2 juta daripada RM114.8 juta yang dicatatkan pada Q5FY23, disebabkan oleh purata harga minyak yang lebih rendah sebanyak AS$81.90 setong berbanding AS$97.20 setong pada Q5FY23.
Bahagian IT menjana pendapatan RM41.1 juta, berbanding RM55.5 juta pada suku sebelumnya, seiring dengan penyiapan dan kerja progresif yang dilakukan bagi projek tertentu.
Untuk tahun kewangan 18 bulan berakhir 31 Disember 2023 pula, DNeX mencatat pendapatan RM1.91 billion dan mengalami kerugian bersih sebanyak RM119.9 juta.
Selepas membuat pelarasan one-off perbelanjaan bukan operasi yang berkaitan dengan kemerosotan aset, pembalikan aset cukai tertunda dan liabiliti cukai tertunda yang timbul daripada penggubalan Levi Keuntungan Tenaga (EPL) UK, Kumpulan akan melaporkan untung bersih yang "dinormalisasi" sebanyak RM98.8 juta untuk tahun kewangan 18 bulan FY23.
Seperti yang diumumkan pada 17 Ogos 2023, DNeX menukar tahun kewangannya dari 30 Jun kepada 31 Disember. Penyata kewangan teraudit yang akan datang akan mencerminkan perubahan ini yang akan merangkumi tempoh dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024.
Pada 31 Disember 2023, Kumpulan berada dalam kedudukan tunai bersih yang sihat dengan jumlah baki tunai sebanyak RM670.0 juta, melebihi jumlah pinjaman sebanyak RM297.4 juta
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, Kumpulan komited untuk mengenal pasti dan memanfaatkan peluang pertumbuhan tinggi dalam sektor Teknologi, Tenaga dan IT.
Katanya dalam kenyataan media, pendekatan ini adalah kunci untuk mengekalkan kelebihan daya saing Kumpulan dan kedudukannya dalam sektor di mana ia beroperasi.
ARTIKEL BERKAITAN: DNeX raih lanjutan kontrak penyelenggaraan aplikasi HITS bernilai RM11.2 juta daripada LHDN
“Dalam sektor Teknologi, tumpuan strategik kami untuk meningkatkan campuran produk dengan teknologi baru muncul seperti sistem mikroelektromekanikal (MEMS) dan Silicon Photonics yang mendapat momentum positif.
"Kami mula mengalami pertumbuhan beransur-ansur dalam permintaan untuk teknologi baru muncul yang menguasai purata harga jualan dan margin keuntungan yang lebih tinggi.
"Usaha berterusan dalam ujian produk dan kelayakan dengan pelanggan global ditambah dengan pengembangan kapasiti 20 peratus kami pada 2023, meletakkan kami dengan baik untuk memanfaatkan pemulihan industri yang dijangkakan pada separuh kedua 2024 dengan peningkatan permintaan untuk kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), ditambah dengan penstabilan permintaan untuk telefon pintar, komputer peribadi, infrastruktur dan pertumbuhan berdaya tahan dalam sektor automotif,” jelasnya.
Beliau berkata, menerusi Ping Petroleum Limited, Kumpulan merancang untuk memanfaatkan kepakarannya dalam menguruskan aset late-life minyak dan gas (O&G) yang kini merangkumi tiga aset di UK (Anasuria, Avalon dan Fyne) dan tiga aset di Malaysia (Kluster Meranti, Kluster A dan Kluster Abu).
"Pembangunan Kluster Abu dijangka memulakan pengeluaran tidak lama lagi dengan minyak pertama disasarkan pada awal 2025.
"Tambahan pula, laporan Tinjauan Aktiviti 2024-2026 Petronas yang diterbitkan baru-baru ini menggariskan matlamat Petronas untuk mengekalkan dan mengembangkan pengeluaran O&G Malaysia kepada dua juta tong minyak sehari menjelang 2025 dan seterusnya.
"Ini memberikan peluang besar kepada OGPC Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan dan pengedar produk dan peralatan teknikal dalam sektor O&G," katanya.
Dalam segmen IT, beliau berkata, Kumpulan berhasrat untuk menumpu mendapatkan projek IT dan pendigitalan berskala besar dalam kedua-dua sektor awam dan swasta, tempatan dan global.
Ini termasuk tumpuan khusus pada rantau Asia Barat dan Afrika Utara, yang mana Kumpulan berusaha untuk merebut peluang dalam pembangunan bandar pintar, perkhidmatan e-kerajaan dan projek integrasi sistem.
“Untuk mencapai matlamat ini, kami akan memanfaatkan rekod prestasi kami yang berjaya dalam menyampaikan projek IT negara yang kritikal dan bekerjasama dengan syarikat teknologi terkemuka untuk membangunkan dan menyampaikan penyelesaian inovatif yang mempercepatkan transformasi digital untuk pelanggan kami.
"Tambahan pula, kami secara aktif mengembangkan penawaran perkhidmatan kami dengan mengukuhkan keupayaan sedia ada dan merebut peluang dalam teknologi baru muncul termasuk Internet of Things, Big Data dan analitik,” tambahnya.- DagangNews.com