DNeX dapat kontrak pemasangan kabel laut, RM12.18 juta | DagangNews Skip to main content

DNeX dapat kontrak pemasangan kabel laut, RM12.18 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) berjaya memperoleh sebuah kontrak bernilai RM12.18 juta bagi kerja-kerja utama untuk pemasangan kabel laut di Indonesia. 

 

Kontrak itu diraih menerusi sebuah konsortium yang ditubuhkan antara unit perniagaan PT DNeX Telco Indonesia (PT DTI), PT Samudera Mbiantu Sesami (PT SMS) dan PT Infrastruktur Telekomunikasi Indonesia (TelkomInfra).

 

DNeX menerusi sebuah kenyataan memberitahu, kontrak yang dijangka bermula serta-merta itu melibatkan pemasangan kabel laut Luwuk-Morowali-Kendari dan Labuan Bajo-Raba bagi tempoh kira-kira 63 hari.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, berdasarkan pengalaman kumpulan syarikatnya, mereka mampu memberikan perkhidmatan terbaik yang memenuhi spesifikasi kualiti dan jadual projek pelanggan.

 

Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir
Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

“Kami berbesar hati apabila meraih kontrak ini kerana kami menumpukan kepada pembangunan rekod prestasi kukuh dalam kerja pemasangan dan pembaikan kabel laut di Indonesia.

 

“Kontrak ini adalah susulan daripada perjanjian konsortium yang telah kami tandatangani baru-baru ini, dan berfungsi sebagai pelopor kepada perjanjian perkongsian jangka panjang antara PT DTI, PT SMS dan TelkomInfra,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

TelkomInfra merupakan anak syarikat penuh PT Telkom Indonesia Tbk, iaitu sebuah konglomerat telekomunikasi Indonesia yang tersenarai dalam Bursa Saham Indonesia dan juga penyenaraian kedua di Bursa Saham New York.

 

Sementara itu, perjanjian konsortium itu telah ditandatangani oleh PT DTI, PT SMS dan TelkomInfra pada 25 Januari 2021. 

 

Berdasarkan terma-terma perjanjian itu, DNeX berkata, konsortium berkenaan ditubuhkan bagi tempoh masa tiga tahun dan mungkin akan dilanjutkan bagi tiga tahun lagi. 

 

Selepas berjaya meraih kontrak pertama, kesemua parti dijangka memeterai perjanjian perkongsian yang muktamad, tambah DNeX.

 

Kata kumpulan syarikat itu lagi, kemampuan DNeX untuk memperoleh kerja pemasangan dan pembaikan kabel laut di Indonesia bergantung pada pemasangan kabel lautnya dan memperbaiki aset CS DNeX Pacific Link sebagai vesel utama.

 

Setakat 2.27 petang, nilai saham DNeX menyusut 1 sen kepada 95 sen. - DagangNews.com