DNeX menang saman ke atas bekas CEO subsidiari, defendan diarah bayar ganti rugi RM12.7 juta | DagangNews Skip to main content

DNeX menang saman ke atas bekas CEO subsidiari, defendan diarah bayar ganti rugi RM12.7 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Julai - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan undang-undang kumpulan itu yang difailkan ke atas Mohd Ismail Khan Wazir Khan, bekas ketua pegawai eksekutif sebuah subsidiarinya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, DNeX berkata, penghakiman tersebut bertarikh 19 Julai 2024 yang antaranya memberikan pengisytiharan bahawa Mohd Ismail selaku defendan telah melanggar kewajipan fidusiarinya, amanah, kewajipan menjaga, kemahiran dan ketekunan, kewajipan kesetiaan dan kewajipan amanah dan keyakinan terhadap Plaintif, berkenaan dengan perolehan kenderaan kawalan jauh (ROV).

 

Kata DNeX, mahkamah juga memeritahkan defendan membayar ganti rugi khas berjumlah AS$1,250,000 (RM5.85 juta) dan Indonesia Rupiah (IDR) 23,764,196,250 (RM6.87 juta) kepada plaintif.

 

"Mahkamah juga memerintahkan kos sebanyak RM150,000 yang perlu dibayar oleh defendan kepada plaintif.

 

 

"Defendan mempunyai 30 hari mulai hari ini untuk memfailkan rayuan terhadap Penghakiman bertarikh 19 Julai 2024," katanya hari ini.

 

Kata DNeX, mahkamah juga mengiystiharkan bahawa AS$1,335,000 dan/atau semua keuntungan rahsia dan/atau faedah lain yang diperoleh oleh defendan melalui pemerolehan ROV dipegang atas kepercayaan membina untuk Plaintif. 

 

"Faedah pra-penghakiman ke atas jumlah yang dihakimi oleh Mahkamah Yang Mulia ini pada kadar 5% setahun yang dikira mulai 15 November 2022 sehingga tarikh penghakiman ini.

 

"Faedah selepas penghakiman ke atas jumlah wang yang diputuskan oleh Mahkamah Yang Mulia ini pada kadar 5% setahun yang dikira dari tarikh penghakiman ini sehingga direalisasi sepenuhnya," ujarnya.

 

Pada 15 November 2022, DNeX memaklumkan Bursa Malaysia yang tindakan undang-undang diambil ke atas Mohd Ismail yang juga bekas CEO DNeX Telco Services Sdn Bhd (DTS) berhubung pembelian ROV.  - DagangNews.com