DNeX peroleh projek migrasi data daripada SC bernilai RM3.09 juta | DagangNews Skip to main content

DNeX peroleh projek migrasi data daripada SC bernilai RM3.09 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Okt - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menerusi anak syarikatnya, Innovation Associates Consulting Sdn. Bhd. (IAC) berjaya memperoleh projek bernilai RM3.09 juta daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi melaksanakan proses suai tugas (onboarding) sistem dan migrasi data.

 

Menerusi projek itu, IAC ditugaskan untuk melaksanakan platform pendaftaran, pelesenan dan kebenaran, dan mengendalikan sistem onboarding dan migrasi data.

 

Projek itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Teknologi dan Analitik SC yang bertujuan meningkatkan keupayaannya mengemudi risiko teknologi yang sedang muncul apabila pasaran modal menerima pendigitalan.

 

Tempoh projek itu adalah untuk tempoh 27 bulan dengan pilihan untuk memperbaharui kontrak bagi tempoh lanjut seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

 

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya berbesar hati dianugerahkan kontrak daripada SC kerana ia membuktikan rekod prestasi kumpulan yang mantap dalam melaksanakan projek bagi memacu pendigitalan dalam sektor awam dan swasta.

 

dnex
Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

“Organisasi dan kerajaan di seluruh dunia memberi lebih perhatian kepada keselamatan siber kerana ia menimbulkan ancaman besar bukan sahaja dalam pasaran modal tetapi kepada ekosistem global secara keseluruhan.

 

"Dengan ancaman siber yang semakin meningkat, adalah penting untuk mengutamakan rumusan bagi mengurangkan risiko untuk melindungi kedua-dua pelabur dan integriti pasaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

DNeX sebelum ini telah melaksanakan pelbagai projek inovasi dan melaksanakan projek pendigitalan berskala besar daripada sektor awam dan swasta.

 

Antara projek yang dilaksanakan termasuk pembangunan Sistem Perakaunan Kewangan dan Pengurusan Kerajaan Bersepadu (“iGFMAS”) bagi Kementerian Kewangan (MOF),dan Sistem Percukaian Bersepadu Hasil (HITS) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).  - DagangNews.com