KUALA LUMPUR 29 Ogos - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) melalui anak syarikat penuh miliknya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd meraih kontrak lanjutan daripada Kerajaan Malaysia bagi melaksanakan Tetingkap Tunggal Nasional (NSW) untuk kemudahan perdagangan.
Kontrak tersebut merangkumi tempoh setahun dan bermula berkuat kuasa pada 1 Sept 2024 sehingga 31 Ogos 2025.
Dagang Net merupakan pengendali NSW sejak 2009 dan menyumbang kira-kira 6.9% daripada hasil Kumpulan DNeX.
Menurut satu kenyataan, DNeX berkata, NSW menghubungkan lebih daripada 45,000 pengguna, memproseskan lebih 100 juta transaksi elektronik setiap tahun dan mengintegrasikan 36 agensi pengeluar permit, 16 bank dan 167 stesen kastam melalui perkhidmatan pusat panggilan 24/7.
"Menerusi lanjutan kontrak tersebut, DNeX akan terus menawarkan enam eServices penting NSW untuk kemudahan perdagangan iaitu eDeclare, eManifest, ePCO, ePermit, ePermitSTA, dan ePayment.
"Perkhidmatan ini akan mengoptimumkan aliran perdagangan dengan menyediakan platform digital untuk interaksi yang lancar dalam kalangan komuniti perdagangan, kastam dan agensi berkaitan," ujar DNeX.
Pengerusi Eksekutif DNeX Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail berkata, pelanjutan kontrak tersebut merupakan bukti kekuatan dan keupayaan Kumpulan dalam menyampaikan penyelesaian bagi memudahkan perdagangan yang inovatif dan cekap.
"ePerkhidmatan kami telah dibangunkan, diuruskan dan diselenggarakan oleh sekumpulan bakat tempatan yang berdedikasi di mana kami telah mencapai tahap ketersediaan perkhidmatan yang sedia ada dan konsisten," ujar beliau.
Di samping itu, DNeX juga membangunkan sistem Air Manifest bagi membolehkan pertukaran elektronik dokumen kritikal dalam industri kargo Udara dengan tujuan untuk memudahkan sekuriti, pengurusan operasi syarikat penerbangan dan kastam.
Menurut DNeX, perkhidmatan tersebut memastikan ketelusan dan akauntabiliti, menjadikannya dokumen penting untuk semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam pengangkutan udara.- DagangNews.com