D&O Green Technologies Berhad diunjur raih keuntung lebih baik pada 2HFY23 didorong peningkatan permintaan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

D&O Green Technologies Berhad diunjur raih keuntung lebih baik pada 2HFY23 didorong peningkatan permintaan - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Ogos - MIDF Research mengunjurkan bahawa pemulihan permintaan pada 2HFY23 akan mendorong D&O Green Technologies Berhad meraih keuntungan yang lebih baik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia akan membantu kumpulan itu mencapai unjuran pendapatan sebanyak RM69 juta bagi FY23.

 

Katanya, terdapat beberapa tanda positif pemulihan dalam sektor automotif, disokong oleh langkah-langkah rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan China baru-baru ini.

 

"Jelas sekali, kumpulan itu telah meningkatkan pesanan dari Jun 2023 dan seterusnya. Ini menunjukkan perubahan positif dari segi sentimen pengguna.

 

"Jualan dari rantau Asia merangkumi 64.2% daripada hasil 1HFY23 kumpulan. Sementara itu, rantau Eropah dan Amerika Syarikat masing-masing menyumbang 26.6% dan 7.6%," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu susut sebanyak 95.33% kepada RM716,000 pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23), daripada RM15.34 juta setahun lalu. 

 

Hasil bagi suku itu susut 9.13% kepada RM219.97 juta, daripada RM242.06 juta sebelumnya.

 

Ia merupakan untung bersih suku tahunan paling lemah kumpulan sejak 2QFY20, apabila ia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM686,000.

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu juga mengalami tekanan kos disebabkan pengembangan kapasiti yang ketara pada 2022 dan kesan kenaikan gaji minimum yang berkuat kuasa bermula Mei 2022.

 

Kumpulan itu mengambil langkah proaktif termasuk memperkemas proses pengeluaran, mengautomasikan tugas, mengoptimumkan hasil dan merasionalkan tenaga kerja.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM3.91 sesaham," katanya. - DagangNews.com