D&O Green Technologies dijangka rekod prestasi kukuh Q4FY21, raih manfaat daripada EV | DagangNews Skip to main content

D&O Green Technologies dijangka rekod prestasi kukuh Q4FY21, raih manfaat daripada EV

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Jan - Kenanga Research menjangkakan D&O Green Technologies Bhd. akan merekodkan prestasi yang kukuh pada suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (Q4FY21) dengan keuntungan bersih teras sebanyak RM39 juta. 

 

Malah, penganalisisnya, Samuel Tan juga yakin kumpulan berada dalam landasan tepat untuk memenuhi anggaran untung bersih teras sebanyak RM110.9 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Katanya, dalam mesyuarat dengan pengurusan pada Jumaat lalu, mereka memberi jaminan bahawa operasi kumpulan dalam keadaan baik dengan permintaan bagi sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) automotif akan terus menyaksikan momentum yang kukuh. 

 

"Malah, kami juga mendapati, di sebalik langkah pengembangan positif kumpulan menerusi Loji 1, kemasukan pesanan meningkat pada akhir tahun lalu hingga melebihi kapasiti kumpulan menyebabkan lebihan sehingga 2022.

 

"Ini bermakna, kadar penggunaan bagi tempoh suku pertama 2022 ini akan kekal tinggi, bertentangan dengan trend suku pertama yang lemah sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat, D&O telah mula memasukkan peralatan untuk Loji 2 (keluasan kira-kira 250,000 kaki persegi) yang dijangka beroperasi pada suku kedua 2022. 

 

Kemudahan ini mampu memenuhi permintaan pelanggan sehingga 2025 manakala Loji 3 (keluasan kira-kira 330,000 kaki persegi) dijangka bersedia untuk LED automotif termaju baharu. 

 

Tan juga percaya, perlumbaan ke arah pengeluaran kenderaan elektrik (EV) akan terus meningkat tahun ini bagi mencapai sasaran pelepas karbon yang rendah di seluruh dunia.  

 

Kajian Pasaran Allied baru-baru ini, katanya, menunjukkan pasaran EV global bernilai AS$162.3 bilion pada 2019 dan dijangka mencecah AS$802.8 bilion menjelang 2027. 

 

"Menyedari trend ini, D&O telah menyelaraskan penawaran produknya untuk memenuhi pasaran EV seperti yang terbukti oleh perancangan rangkaian kumpulan yang kukuh dalam reka bentuk.

 

"Malah, menerusi artikel terbaharu oleh Electrek mengenai kenderaan elektrik yang paling dinanti-nantikan tahun ini, D&O terlibat dalam hampir semua model tersebut termasuk trak pikap terlaris di dunia," katanya.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap D&O dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.60. 

 

Firma itu percaya pembetulan dalam harga sahamnya baru-baru ini menyediakan peluang terbaik kepada pelabur untuk membina kedudukan memandangkan kumpulan dijangka merekodkan prestasi suku keempat yang kukuh. 

 

Setakat 9.57 pagi ini, harga sahamnya menokok 10 sen atau 2.2% kepada RM4.65 dengan 1.23 juta saham diniagakan. - DagangNews.com