DoctorOnCall lancar Program Penjejakan Majikan COVID-19 CARE Assist | DagangNews Skip to main content

DoctorOnCall lancar Program Penjejakan Majikan COVID-19 CARE Assist

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran DoctorOnCall, Hazwan Najib

 

 


KUALA LUMPUR 18 Ogos - Platform kesihatan digital pertama dan terbesar di Malaysia, DoctorOnCall melancarkan Program COVID-19 CARE Assist DoctorOnCall yang ditawarkan untuk semua pembeli kit ujian
kendiri Rapid Antigen (RTK-Ag).

 

Kemudahan tersebut ditawarkan kepada semua pembeli kit ujian kendiri tersebut yang dibeli dari laman web perkhidmatan farmasi dalam talian DoctorOnCall, bermula 15 Ogos.

 

Orang ramai kini dapat melakukan pemeriksaan sendiri untuk mengetahui status jangkitan COVID-19 mereka dengan segera melalui kit ujian kendiri RTK-Ag tersebut.

 

Dengan pelancaran program itu, setiap pembelian kit ujian kendiri RTK-Ag dari platform DoctorOnCall atau cawangan syarikat rakan kerjasamanya pada masa depan akan disertakan dengan kad COVID-19 CARE Assist.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata, program bantuan COVID-19 CARE Assist untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada pelanggan sekiranya ujian mereka didapati positif.

 

Katanya, pada masa sama, pesakit yang positif juga diberi diskaun sekiranya mereka perlu menjalani ujian lanjut rt-PCR dan pakej Kit Pemantauan Rumah COVID-19 (seperti produk Oximeter dan lain-lain).

 

"Bagaimanapun, jika pembeli kit yang diuji adalah negatif, mereka masih boleh mendapat pelbagai faedah lain sebagai ahli kad CARE Assist.

 

"Keahlian tersebut diberikan tanpa kos tambahan kepada pelanggan yang membeli kit ujian kendiri Rapid-Ag COVID-19 yang sah dari platform DoctorOnCall atau saluran rakan kerjasamanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Hazwan juga berkata, DoctorOnCall sedang berusaha untuk menawarkan program COVID-19 CARE Assist dengan lebih banyak faedah lain seperti perlindungan insurans percuma dan pelbagai faedah yang ditawarkan outlet Rakan Perniagaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

 

Platform DoctorOnCall pada masa ini menawarkan produk kit ujian kendiri RTK-Ag berjenama Gmate, Salixium, ALLTEST dan NewGene.

 

Kad COVID-19 CARE Assist DoctorOnCall itu akan membolehkan pembeli mendapat laporan keputusan ujian yang lancar bagi tujuan penjejakan peribadi dan tidak lama lagi akan dihubungkan kepada aplikasi MySejahtera untuk tujuan pelaporan dan pengesanan ujian.

 

Program COVID-19 CARE Assist juga dilengkapi dengan Program Korporat yang mana pekerja dapat melaporkan ujian kendiri mereka kepada majikan masing-masing untuk tujuan pengesanan dan pemantauan yang lebih baik.

 

Pasukan Hotline COVID-19 DoctorOnCall di talian 03-84082000 akan membantu mereka mengambil langkah seterusnya dengan menghubungkan pesakit kepada doktor yang bertugas - dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, termasuk pada cuti umum.

 

Kesemua kemudahan itu ditawarkan sebagai salah satu daripada program COVID-19 CARE Assist.

 

Melalui kemudahan DoctorOnCall Telehealth, anda juga dapat menempah ujian PCR COVID-19 sama ada dengan menempah slot di klinik/hospital berdekatan, kemudahan pandu terus atau menempah ujian rumah oleh pasukan pakar. - DagangNews.com