Dolar AS mengukuh, ringgit merosot | DagangNews Skip to main content

Dolar AS mengukuh, ringgit merosot

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 8 Mac - Ringgit meneruskan aliran menurun dalam dagangan pagi ini berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) meskipun harga minyak mentah melambung sehigga AS$70 setong.

 

Pagi ini, ringgit dibuka pada RM4.0750/0780 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan Jumaat, pada RM4.0720/0760. 

 

HLIB Research menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam julat antara RM4.05 hingga RM4.09 sepanjang minggu ini. 

 

Katanya, ketegangan pasaran disebabkan inflasi tinggi dan peningkatan hasil bon dijangka mengekalkan dolar AS pada tawar-menawar. 

 

"Namun, secara teknikal, terdapat momentum yang positif dalam peningkatan dolar AS/ringgit, yang akan dilihat terus mengukuh," katanya dalam nota kajian. 

 

Dolar AS menghampiri paras 3 bulan teringgi selepas Senat AS meluluskan rang undang-undang rangsangan ekonomi bernilai AS$1.9 trilion.

 

Menurut HLIB, hasil perbendaharaan AS 10 tahun pada Jumaat meningkat kepada 1.57% dan 16 mata asas lebih tinggi pada minggu sebelumnya. 

 

Harga minyak Brent pula pagi ini, katanya, terus melambung sehingga AS$70 setong apabila salah satu kemudahan utama pengeluaran minyak Arab Saudi diserang peluru berpandu. 

 

Sementara itu, dalam aliran dana kewangan mingguan, MIDF Research berkata, ringgit menyusut 0.6% di sebalik pengukuhan dolar AS. 

 

Ini menjadikan ringgit mengakhiri minggu lalu pada RM4.075 berbanding dolar AS, lebih rendah berbanding minggu sebelumnya pada RM4.050.

 

"Malah, kenaikan harga minyak juga gagal menyokong ringgit walapun harga minyak mentah diniagakan menghampiri AS$70 setong. 

 

"Sepanjang minggu lalu, Brent menokok sehingga 4.9% berbanding minggu sebelumnya kepada AS$69.36 setong (berbanding AS$66.13 setong)," katanya. - DagangNews.com