SHAH ALAM 2 Okt. - Prof. Dr. Arifin Abdu dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM) selama tiga tahun mulai 1 Oktober 2020 hingga 30 September 2023.
Pelantikan beliau dibuat dalam surat yang ditandatangani oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad pada 30 September, 2020.
Datuk Dr. Noraini dalam surat pelantikannya berharap Prof. Dr. Arifin dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada universiti.
Prof. Dr. Arifin menggantikan Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman yang dilantik sebagai Naib Canselor UPM pada 1 September 2020.
Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan menyifatkan pelantikan Prof. Dr. Arifin akan dapat mendukung matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang berkualiti bagi kebolehpasaran serta memperkasakan pelajar UPM dengan penguasaan kemahiran insaniah dan business skills bagi meningkatkan kompetensi graduan.
“Saya dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) akan menyokong penuh aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi seperti kebolehpasaran graduan, keusahawanan pelajar, pendigitalisasi dan pengantarabangsaan pelajar.
“Portfolio yang akan dipegang oleh Prof. Dr. Arifin ialah mengetuai keseluruhan pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta pembangunan pelajar universiti.
“Beliau juga bertanggungjawab terhadap aktiviti Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, Pusat Sukan, Pusat Alumni, Kolej, Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPSA),” kata Naib Canselor lagi. - DagangNews.com