Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Perlantikan Dr Daroyah Alwi sebagai Pengerusi Majlis Getah Malaysia (MRC) adalah bukti pengiktirafan wanita menerajui kepimpinan tertinggi dalam industri getah negara.
Dr Daroyah sebelum ini dilantik sebagai pengerusi MRC berkuatkuasa 1 Oktober 2021 bagi menggantikan Raja Datuk Idris Raja Kamarudin.
Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff, berkata pelantikan itu juga mencipta sejarah tersendiri sejak lebih 20 tahun penubuhan MRC sebagai sebuah agensi kerajaan.
Beliau berkata, ini adalah kali pertama MRC diterajui oleh wanita.
"MRC mengalu-alukan kedatangan Dr Daroyah dan kami yakin dengan pengalaman beliau selama ini dapat membantu membawa MRC terus maju ke hadapan.
"MRC juga turut mengucapkan terima kasih kepada Raja Idris atas segala bimbingan dan perkongsian ilmu selama menjawat jawatan pengerusi MRC," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr Daroyah berkata, beliau percaya dengan kepimpinan MRC akan bersama-sama dengannya mendepani cabaran yang mendatang.
Beliau berkata pengalamannya selama ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjadikan MRC sebagai agensi unggul negara.
"Saya akan terus komited dalam membangunkan dan memperkasakan MRC bukan sahaja dalam sektor industri getah negara tetapi juga di mata dunia," katanya. -DagangNews.com