Dr Khalid Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan MASA | DagangNews Skip to main content

Dr Khalid Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan MASA

Dr Khalid Abdul Hamid
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 April - Institut Masa Depan Malaysia (MASA) mengumumkan pelantikan Dr Khalid Abdul Hamid, 61, sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan badan pemikir bebas itu berkuat kuasa hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Gunaan dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Ekonomi Pembangunan Vanderbilt University, Amerika Syarikat dan Ijazah Doktor Falsafah Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia itu mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam penyelidikan pelbagai bidang khususnya ekonomi dan sosial. 

 

Katanya, sebagai bekas Pengarah Bahagian Industri Perkhidmatan di Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Khalid bertanggungjawab mengetuai penyediaan kertas-kertas dasar, laporan dan dokumen berkaitan ekonomi, kewangan serta sosial termasuk input untuk Rancangan Malaysia Ke-12. 

 

"Semasa di Kementerian Kewangan, beliau mengetuai pasukan yang ditugaskan menyediakan Laporan Ekonomi serta Belanjawan 2015 dan 2016. 

 

"Jawatan terakhir beliau adalah mengetuai Unit Penyelidikan Strategik Majlis Pemulihan Negara," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Azril, Khalid juga sering dijemput membentangkan hasil kajiannya di dalam dan luar negara, antaranya kajian tentang Pasaran Tenaga Bersepadu di Asia Tenggara yang dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Brunei dan Jakarta pada 2011. 

 

"Kertas penyelidikan beliau mengenai kesan kenaikan kadar tenaga terhadap industri makanan turut mendapat perhatian Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN pada 2012, malah diterbitkan jurnal terkemuka ERIA," katanya.

 

 

MASA
                                            Azril Mohd Amin

 

 

Tambah beliau, pihaknya mengalu-alukan pelantikan beliau dan berharap dengan kepakaran serta pengalaman luas beliau dalam bidang penyelidikan dapat membantu membawa MASA ke satu tahap yang lebih tinggi sebagai badan pemikir berwibawa berlandaskan nilai-nilai kemakmuran bersama. - DagangNews.com