NORAINI AHMAD (kiri) menyampaikan surat pelantikan sebagai Naib Canselor UiTM kepada Prof. Ts. Dr. Roziah Mohd Janor di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
PUTRAJAYA 3 Sept - Teka-teki siapa Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini terjawab dengan pengesahan pelantikan Prof. Ts. Dr. Roziah Mohd Janor, sekali gus merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad yang surat pelantikan itu hari ini berkata, dengan visi untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti mega seterusnya memberi peluang yang luas kepada bumiputera memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan tinggi dalam semua bidang, beliau percaya Prof. Ts. Dr. Roziah mampu menggalas tanggungjawab ini dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UiTM.
''Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Datuk Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim atas jasa bakti beliau menerajui UiTM selama lebih dua (2) tahun sejak tahun 2019,'' katanya dalam perutusan menerusi laman Facebooknya hari ini.
Prof. Ts. Dr. Roziah, 58, berkelayakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik dari The State University of New York @ New Paltz New York, USA, Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama dari West Virginia University, USA dan seterusnya memperolehi PhD dalam bidang Statistik pada tahun 2003 dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau telah menggerakkan 22 inisiatif Globally Reknowned University 2025 seperti penggabungan Fakulti menjadi Kolej Pengajian 10 bidang, Education 5.0@UiTM dan Global Learning.
Beliau turut menganggotai badan profesional Malaysia Board of Technologist (MBOT) dan pernah menerima pelbagai anugerah seperti Staff Excellence Award UiTM pada tahun 2017, 2013, 2009, 2008 dan 2002, Researcher of the Year UiTM 2007, Bronze Medal for GPP Modified Socio Mobility Index: Quantifying Actual Development Impact dari Malaysian Association of Research Scientist dan lain-lain.
Sebelum ini timbul desas-desus pelantikan beliau berdepan dengan `isu teknikal', kononnya Noraini tidak mengemukakan nama Dr Roziah ke Pejabat Perdana Menteri terlebih dahulu semasa membuat pengumuman. - DagangNews.com