Draf akta kawal selia tembakau, rokok elektronik dibentang tahun 2022 | DagangNews Skip to main content

Draf akta kawal selia tembakau, rokok elektronik dibentang tahun 2022


KUALA LUMPUR 24 Nov - Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk membentang draf akta  berkenaan kawal selia produk tembakau dan rokok elektronik pada penggal pertama persidangan Dewan Rakyat 2022.

 

KKM dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman web Parlimen pada Selasa,i memaklumkan permohonan tarikh pembentangan ke Parlimen dibuat melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri serta Memorandum Jemaah Menteri berkaitan draf akta baharu itu akan diangkat dalam masa terdekat.

 

“Draf yang telah dikemas kini ini juga akan meliputi kawalan terhadap semua produk merokok konvensional iaitu rokok dan hasil tembakau yang lain, semua produk ini adalah dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Akta Makanan 1983.

 

“Pewujudan akta baharu ini akan membolehkan kawalan yang lebih komprehensif dapat dilaksanakan terutama kepada produk-produk baharu atau New Emerging Smoking Product yang menarik lebih ramai perokok muda namun juga mengancam kesihatan rakyat Malaysia,” menurut KKM. 

 

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) mengenai perkembangan akta baharu melibatkan penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha yang sepatutnya dibentang tahun lepas.

 

Menurut jawapan itu, sebelum ini draf akta baharu KKM berkenaan kawal selia produk tembakau dan rokok elektronik telah disediakan dan dirangka berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 2016.

 

“Draf akta itu dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada Ogos 2019 untuk gubalan namun dipulangkan semula kepada KKM bagi mendapatkan mandat baharu daripada kerajaan susulan berlakunya beberapa kali pertukaran pucuk pimpinan negara sejak 2018,” katanya, lapor Bernama. 

 

Bagaimanapun, KKM memaklumkan keputusan terbaharu daripada Jemaah Menteri berkaitan kawal selia rokok elektronik berdasarkan kertas memorandum yang diangkat Kementerian Kewangan pada 14 Julai 2021 telah diperoleh.

 

Oleh itu, KKM telah mengambil tindakan menyemak semula dan membuat penambahbaikan ke atas draf rang undang-undang kawal selia produk-produk rokok supaya kawal selia ketat yang dihasratkan kerajaan dapat dilaksanakan. - DagangNews.com