'Drama' politik : KLCI, ringgit merosot ke paras terendah  | DagangNews Skip to main content

'Drama' politik : KLCI, ringgit merosot ke paras terendah 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Situasi tegang kemelut politik negara akhirnya mengundang musibah kepada pasaran saham tempatan dan ringgit apabila masing-masing merosot ke paras terendah.

 

UMNO malam tadi mengisytiharkan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi. 

 

'Drama' politik ini yang entah bila akan berakhir semakin memuncak di tengah-tengah lonjakan kes yang mencecah 8,868 hari ini dengan Selangor kekal sebagai 'kilang' COVID-19. 

 

Peguam Negara dalam kenyataan mengesahkan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin masih berfungsi dan berjalan seperti biasa.

 

Petang ini, KLCI susut 21.44 mata atau 1.4% kepada 1,508.71 mata dengan 5.35 bilion saham diniagakan bernilai RM3.54 bilion. 

 

Ringgit pula mengakhiri dagangan pada RM4.1800/1830 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% juga gagal menyokong pasaran meskipun keputusan itu telah dijangkakan sebelum ini dengan mengambil kira sekatan pergerakan penuh dilaksanakan pada Jun. 

 

Keseluruhan pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 1,057 berbanding 147 manakala 285 kaunter tidak berubah. 

 

Mengulas mengenai prestasi saham tempatan, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, sentimen pasaran diheret turun oleh jangkitan COVID-19 yang tinggi sejak 29 Mei lalu yang merekodkan 9,020 jangkitan baru harian.

 

Katanya, ini menyebabkan indeks utama jatuh ke paras terendah sejak 25 Oktober manakala ringgit pula ke paras terendah sejak Ogos 2020.

 

"Selain itu, kemerosotan ini juga sejajar dengan pasaran serantau lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Thailand di tengah-tengah gelombang jangkitan varian baharu di Asia," katanya hari ini.

 

Mengenai dasar monetari, jelasnya, ia menyaksikan kaunter-kaunter perbankan dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap pandemik berbanding OPR yang tidak berubah, yang seharusnya menyokong sektor perbankan dari segi margin pendapatan bersih.

 

"Indeks tenaga Bursa Malaysia pula muncul indeks sektor paling banyak mencatat kerugian apabila harga minyak kekal berada di bawah tekanan berikutan prospek permintaan lembap disebabkan gelombang baharu COVID-19 di Asia," kata beliau.

 

Bagi kaunter aktif diniagakan hari ini, Serba Dinamik Holdings Bhd. susut 8.33% kepada 44 sen dengan 370 juta saham didagangkan dalam penutupan petang ini.

 

Ia diikuti saham Advance Synergy Bhd. menokok 6.25% kepada 17 sen manakala Pelikan International Corporation Bhd. pula susut 15.28% kepada 38.5 sen. 

 

Kaunter untung pula didahului dengan saham Kumpulan H&L High-Tech Bhd. melonjak 16.98% kepada RM4.34 diikuti Widetech (Malaysia) Bhd. menokok 14.13% kepada RM4.20 dan Y&G Corporation Bhd. naik 28.91% kepada RM1.65. 

 

Dalam kalangan kaunter rugi, ia menyaksikan saham pengeluar sarung tangan getah, Top Glove susut 3.63% kepada RM3.72 diikuti Hartalega Holdings jatuh 1.13% kepada RM6.98 impak daripada penutupan operasi kilang masing-masing di Selangor. 

 

Saham perbankan, antaranya Hong Leong Financial Group Bhd jatuh 0.99% kepada RM18. dan CIMB Group Holdings Bhd. susut 3.7% kepada RM4.43 turut berada dalam kalangan kaunter yang mencatat kerugian dalam dagangan hari ini. - DagangNews.com