KUALA LUMPUR 26 Ogos - KPJ Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2) yang akan beroperasi September ini akan menjadi hospital utama dalam kumpulan KPJ Healthcare Bhd. dilengkapi dengan kemudahan terkini beserta teknologi kecerdasan pintar (AI), demikian menurut JP Morgan.
Menurut firma penyelidikan itu, DSH2 akan menjadi hospital pertama di negara ini yang menyediakan anggaran jumlah bil kepada pesakitnya sebelum mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Kami percaya inisiatif ini akan mendorong pemain industri lain untuk mengikut jejak langkah yang sama kerana pesakit semakin mementingkan kos," katanya dalam nota kajian baru-baru ini.
Antara kelebihan DSH2 termasuklah membuka peluang kepada konsultan dari seluruh negara untuk berkhidmat di hospital tersebut dengan mempunyai lebih ramai konsultan pelawat kira 80% berbanding konsultan pemastautin, 40%.
Model tersebut membolehkan lebih 600 konsultannya bergerak di seluruh rantau ini, bagi memaksimumkan penggunaan peralatan dan katil. Malah, konsultan daripada kumpulan hospital lain juga dibenarkan berkhidmat di DSH2.
JP Morgan berkata, KPJ Healthcare juga akan menambah lebih 20% katil membabitkan kira-kira 1,000 katil dalam tempoh tiga tahun datang.
"Ketika ini, hospital swasta di Malaysia sedang agresif menambah bilangan katil dalam rangkaian mereka, dengan Sunway akan menambah lagi empat hospital menjadikan 1,600 katil dalam tempoh tiga tahun lagi.
"Sementara itu, Columbia pula merancang untuk menambah kira-kira 200 katil," katanya.
Bagaimanapun, katanya, industri penjagaan kesihatan di negara ini sedang berdepan masalah kekurangan jururawat memandangkan Singapura dan Arab Saudi membayar gaji tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi.
Tambahan pula, katanya, Arab Saudi juga bersaing untuk mendapatkan jururawat tanpa pengalaman kerja terlebih dahulu.
"Ini menunjukkan hospital perlu bersaing dengan lebih agresif dari segi pembayaran gaji jururawat, dan pengembangan kapasiti katil boleh dikekang kerana hospital di Malaysia perlu mengekalkan nisbah tertentu bagi jururawat kepada bilangan katil," jelasnya.
Secara keseluruhan, JP Morgan mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap KPJ Healthcare dengan berpendapat beberapa usaha yang dilaksanakannya mudah dicapai seperti penumpuan perolehan tetapi pelaksanannya kekal berisiko.
Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, KPJ Healthcare mencatatkan untung selepas cukai (PAT) RM26.4 juta, melonjak 73% berbanding RM15.2 juta pada suku sama tahun lalu.
Pertumbuhan keuntungan bagi suku pertama berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya dipacu oleh langkah-langkah penghematan dan proaktif yang diambil Syarikat untuk menampung kos operasi dan melindungi margin semasa menghadapi pandemik COVID-19.
Pendapatannya bagi suku dikaji turut meningkat tujuh peratus kepada RM651.9 juta, berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, kumpulan sedang melaksanakan strategi transformatif untuk memendekkan tempoh pembangunan hospital baharu dan melupuskan barisan perniagaan yang tidak menguntungkan dalam usaha meningkatkan keuntungan kumpulan. - DagangNews.com