KUALA LUMPUR 20 Dis - Siri ke-26 Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi 2022 menyaksikan lima pasukan cef muda muncul sebagai pemenang kebangsaan, yang dipilih daripada lebih 2,000 peserta.
Lima pasukan cef muda terbabit adalah, Camelia Ivana dan Irdina Sofiya dari Sekolah Menengah (SM) Sains Rembau, Negeri Sembilan; Nabihah Auni dan Nur Ain Syazwani dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, Kuantan, Pahang.
Selain itu, Alya Qaseh dan Qurratul Ain dari SMK Pengerang Utama, Johor; Vanessa Grace dan Valentina Ulau dari SMK Bandar Sibu, Sarawak serta Aleya Alesya dan Damia Batrisyia dari SMJK Notre Dame Convent, Melaka.
Platform kulinari yang mula diperkenalkan pada tahun 1997 itu bertujuan memupuk minat memasak dalam kalangan pelajar sekolah menengah di samping meningkatkan kesedaran tentang kesan jangka panjang pemakanan baik terhadap kesihatan.
Kempen ini merupakan kerjasama strategik antara Maggi dan Kementerian Pendidikan, yang mana setakat ini telah menyaksikan penyertaan lebih 341,000 pelajar meliputi 10,000 buah sekolah di Malaysia.
Menurut Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna, sejak lebih dua dekad lalu, Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi telah mendapat sokongan dan penyertaan pelajar sangat memberangsangkan.
Beliau berkata, ramai mula sedar kepentingan memupuk bakat dalam masakan dan menimba ilmu pengurusan diet sihat dari awal.
"Memasak merupakan kemahiran hidup yang penting buat generasi muda. Mereka akan mempelajari, antara lainnya, tentang proses perancangan, kemahiran pengurusan masa yang berkesan dan kemahiran menyusun atur.
"Selain itu, pertandingan ini turut membuka peluang yang lebih besar untuk bakat muda ini yang mungkin satu hari nanti akan berkecimpung dalam arena masakan Malaysia sebagai kerjaya,” katanya.
Bertemakan Anda & Maggi, 'Sajian Seimbang Tanda Sayang', pertandingan tahun ini telah menyaksikan penyertaan lebih 2,000 orang pelajar beraspirasi tinggi, berusia antara 13 hingga 15 tahun dari 547 sekolah di seluruh negara.
Mereka mempamerkan bakat memasak masing-masing dan menunjukkan pilihan pemakanan yang seimbang berkonsepkan ‘Pinggan Sihat Malaysia’ atau ‘Suku-Suku Separuh’ ke arah membina tabiat pemakanan lebih sihat.
Melalui video yang dihantar, pemenang dipilih berdasarkan beberapa siri penilaian, antaranya penggunaan bahan-bahan kreatif, kemahiran memasak, persembahan dan inspirasi masakan. - DagangNews.com