KUALA LUMPUR 23 Ogos - Kenanga Research menjangkakan dua pelaburan hartanah baharu akan membantu pertumbuhan pendapatan IOI Properties Group Berhad dalam tempoh dua tahun akan datang.
Firma itu berkata, dua hartanah itu adalah IOI City Mall Fasa 2 (akan mula beroperasi pada 25 Ogos 2022) dan Central Boulevard Singapore (mula beroperasi pada 2HCY23).
"Bagaimanapun, penurunan nilai pembangunan kasar (GDV) di China (RM2 bilion) akan diimbangi oleh pembangunan bercampur Marina View di Singapura (GDV RM5 bilion) di bawah perancangan.
"Kami mengunjurkan peningkatan pendapatan sebanyak 5% bagi FY23 selepas mengambil kira sumbangan kerjasama dari Singapura.
"Kami juga memperkenalkan unjuran pendapatan FY24 sebanyak RM753 juta disokong oleh jualan RM1.9 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat 147% kepada RM292.48 million pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM118.37 juta bagi suku sama tahun lalu.
Pendapatan bagi suku tahun meningkat 8.7% kepada RM715.94 juta berbanding RM658.65 juta, disokong oleh pelaburan hartanah, hospitaliti dan segmen hiburan.
Segmen pelaburan hartanah juga meningkat 89% kepada RM108.8 juta berbanding RM57.5 juta manakala untung operasi melonjak 109% kepada RM38.2 juta daripada RM18.3 juta.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.60 berbanding RM1.65 sesaham. - DagangNews.com