Dua pesawat pengangkut taktikal Airbus C295 jadi aset baharu tentera udara Brunei | DagangNews Skip to main content

Dua pesawat pengangkut taktikal Airbus C295 jadi aset baharu tentera udara Brunei

Pesawat pengangkut Airbus C295 milik Brunei.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 Feb - Brunei Darussalam menjadi pengguna baharu pesawat pengangkut taktikal saiz sederhana Airbus C295 apabila menerima dua daripada empat buah yang dibeli.

 

Dua pesawat pertama tersebut secara rasmi memulakan perkhidmatan dengan Tentera Udara Diraja Brunei (RBAirF) dikendalikan Skuadron ke-15 RBAirF.

 

Negara pengeluar minyak itu membeli empat pesawat C295 yang dikenali sebagai C295MW pada Disember 2022 untuk memperkukuhkan lagi keupayaan udaranya. 

 

Pembelian bernilai AS$120 juta ini merangkumi sokongan dalam perkhidmatan Airbus DCare untuk keseluruhan pesawat bagi memastikan kesediaan dan ketersediaan untuk menangani sebarang misi.

 

Pesawat
Penerimaan pesawat pengangkut C295 bakal menggandakan operasi udara tentera Brunei.

 

Pesawat-pesawat ini bagi menggantikan sebuah pesawat CN235 yang digunakan Brunei sejak 1997.

 

Brunei mempunyai angkatan udara yang kecil dengan aset-aset sebanyak 16 buah helikopter Sikorsky S-70i dan 6 helikopter Airbus BO-105.

 

Negara itubtidak mempunyai skuadron pesawat tempur.

 

Penjualan empat pesawat tersebut juga melebarkan pasaran Airbus di rantau sebelah sini.

 

Pesawat
Pesawat Airbus C295 semasa tiba di Pangkalan Udara Rimba, Brunei.
​​​

 

Pesawat
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (tengah) diberi penerangan tentang kelengkapan dan kemampuan pesawat.

 

Pesawat C295 yang mendahului dalam pasaran pesawat pengangkut taktikal saiz sederhana digunakan secara meluas oleh pasukan tentera di seluruh dunia. 

 

Sebanyak 230 buah pesawat ini telah dijual.

 

Di Rantau Asia-Pasifik, pesawat pengangkut taktikal ini telah digunakan oleh tentera Thailand, Filipina, Vietnam dan Indonesia.

 

Pihak Airbus juga sebelum ini turut mengintai peluang untuk memasarkan pesawat C295 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia.

 

Pesawat

 

Kemasukan kedua-dua pesawat ini dalam perkhidmatan menandakan permulaan bagi pengembangan kemampuan operasi RBAirF. 

 

Pesawat C295MW Brunei ini turut dilengkapi dengan sistem radio dan avionik terbaharu yang canggih.

 

Ia akan mula diguna dalan operasi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR), pemindahan aeroperubatan, pengangkutan serta operasi mencari dan menyelamat.

 

Pesawat ini juga boleh dikonfigurasikan untuk mengangkut tentera dan kargo, pengangkutan VIP, menjatuhkan kargo serta terjunan bebas tentera dan penerbangan statik untuk terjunan tentera payung terjun. - DagangNews.com