Dunia tanpa tunai menjelang 2030 | DagangNews Skip to main content

Dunia tanpa tunai menjelang 2030

Cashless

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Penularan wabak COVID-19 menyebabkan peningkatan transaksi tanpa tunai dalam kalangan pengguna di negara ini.

Menurut tinjauan global terbaharu Standard Chartered, hampir dua per tiga (73%) responden bersetuju bahawa COVID-19 mendorong mereka untuk melakukan pembelian secara dalam talian.

Kajian yang dijalankan itu melibatkan 12,000 responden dewasa di 12 pasaran negara seperti Hong Kong, India, Indonesia, Kenya, China, Malaysia, Pakistan, Singapura, Taiwan, UAE, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Standard Chartered Bank Malaysia (Standard Chartered) dalam satu kenyataan berkata, kajian yang dijalankan itu bertujuan untuk melihat kesan penularan wabak COVID-19 yang mampu mengubah cara hidup dan perbelanjaan pengguna.

Di Malaysia, hanya 30% memilih untuk berbelanja secara dalam talian berbanding 70% yang lebih gemar membeli-belah secara peribadi sebelum tempoh wabak.

Abrar A Anwar
Abrar A Anwar

 

Namun, situasi tersebut mula berubah dengan 51% pengguna memilih untuk melakukan pembayaran dalam talian berbanding secara tunai atau kad.

"Peningkatan transaksi tanpa tunai melibatkan pelbagai pembelian seperti makanan dan peranti digital.

"Susulan itu, 79% rakyat Malaysia sekarang mengharapkan negara ini menjalankan transaksi tanpa tunai sepenuhnya. Majoriti menjangkakan perkara itu berlaku pada tahun 2030," jelas Standard Chartered.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A Anwar berkata, pendemik COVID-19 telah mendorong kepantasan transaksi tanpa tunai dalam kalangan pengguna di Malaysia.

"Data pengeluaran ATM kami sendiri menyokong perubahan ini. Penggunaan ATM menurun kepada separuh tahap penggunaan.

"Bagaimanapun, pengguna perlu berhati-hati dalam setiap perbelanjaan dalam talian. Pihak bank juga perlu melakukan inovasi digital agar pelanggan dapat melakukan transaksi, mengesan dan mengurus perbelanjaan dengan mudah dan selamat," tambah beliau. - DagangNews.com