Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Okt. - Syarikat farmaseutikal, Duopharma Biotech Bhd memantapkan lagi usaha vaksinasi COVID-19 di Malaysia dengan pengedaran vaksin Sinopharm COVID-19.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, Duopharma Biotech komited untuk menyokong program vaksinasi kerajaan dan meningkatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan memperluas saluran pengedaran vaksin untuk memastikan liputan vaksin penuh di Malaysia.
Ujarnya, penghantaran pertama vaksin Sinopharm tiba di Malaysia secara berperingkat pada September 2021, dan kini terdapat secara meluas di klinik dan hospital swasta di seluruh negara.
"Beliau berkata, cabaran untuk mengatasi pandemik COVID-19 memerlukan kerjasama dan koordinasi di semua peringkat.
"Kami gembira Malaysia berjaya mencapai tahap vaksinasi yang sangat tinggi dalam kalangan orang dewasa dan mencapai kemajuan yang baik dalam kalangan remaja," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Duopharma Biotech telah memeterai perjanjian untuk mengimport vaksin dari Beijing, China, merangkumi kerjasama bagi pasaran Malaysia, yang mana anak syarikat milik penuhnya, Duopharma (M) Sdn Bhd telah diberi kuasa oleh Sinopharm sebagai pemegang pendaftaran produk dan terbabit dalam penjualan dan pengedaran vaksin.
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan meluluskan pendaftaran bersyarat vaksin Sinopharm COVID-19 untuk kegunaan di Malaysia pada Julai 2021.
Vaksin itu juga termasuk dalam senarai penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (EUL) dan diluluskan untuk penggunaan kecemasan di lebih 65 negara termasuk di pelbagai negara Kesatuan Eropah, dengan lebih 100 juta dos dibekalkan di seluruh dunia.
Vaksin Sinopharm yang pada masa ini digunakan untuk individu berusia 18 hingga 59 tahun adalah antara enam jenama vaksin COVID-19 yang diakui oleh Arab Saudi, yang membolehkan orang Islam yang telah diberi vaksin untuk menunaikan haji atau umrah di Mekah.
"Penyedia perkhidmatan kesihatan atau syarikat yang berminat untuk mendapatkan vaksin Sinopharm boleh menghubungi Perkhidmatan Pelanggan Duopharma Biotech melalui e-mel di [email protected]," katanya. -DagangNews.com