Dutch Lady Milk Industries catat untung bersih RM22.8 juta pada Q4 2023 | DagangNews Skip to main content

Dutch Lady Milk Industries catat untung bersih RM22.8 juta pada Q4 2023

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Feb - Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) mencatat keuntungan bersih pada suku keempat tahun kewangan 2023 (FY23) berjumlah RM22.8 juta, berbanding kerugian bersih RM20.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan pada suku berakhir 31 Disember 2023 itu berjumlah RM364.53 juta, meningkat sedikit daripada RM361.68 juta tahun lalu, kata DLMI dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi FY23, DLMI mencatatkan keuntungan bersih RM72.39 juta, meningkat daripada RM46.27 juta pada FY22, manakala pendapatan bertambah kepada RM1.44 bilion berbanding RM1.33 bilion.

 

Menurut makluman itu, pencapaian ini susulan pertumbuhan pendapatan, penambahbaikan kepada kos harga didorong oleh penurunan kos bahan mentah tenusu dan kos lain.

 

"Buat kali pertama hasil melepasi paras RM1.4 Bilion (+7.7% vs 2022), didorong pertumbuhan permintaan untuk produk Dutch Lady yang kekal kukuh, digabungkan dengan kenaikan harga produk terpilih," kata DLMI.

 

DLMI

 

Sementara itu, Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, keuntungan bersih suku keempat selepas cukai menyaksikan peningkatan ketara, melonjak kepada RM22.8 juta berbanding kerugian RM20.2 juta daripada tempoh yang sama setahun lalu. 

 

Katanya, hasil pada suku keempat yang meningkat dirangsang oleh inisiatif pengurusan untuk mengurangkan kesan tekanan inflasi.

 

"DLMI kekal optimistik dengan berhati-hati mengenai prospek masa depannya dan sebagai sebuah syarikat tenusu Malaysia yang berusia 60 tahun, produk Dutch Lady terus menikmati daya tarikan kukuh merentas generasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

DLMI2
Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik

 

Beliau berkata, sebagai peneraju pasaran dalam produk tenusu halal, rakyat Malaysia boleh menikmati produk tenusu Dutch Lady yang berkhasiat dengan harga berpatutan yang sesuai untuk semua keluarga Malaysia.

 

Katanya, DLMI juga akan terus bekerjasama dengan Kerajaan untuk menyokong penternak tenusu tempatan bagi membantu mereka meningkatkan kuantiti dan kualiti susu segar tempatan.

 

“Dengan hab pengeluaran tercanggih kami tidak lama lagi yang akan beroperasi pada 2024, DLMI akan melakarkan kecemerlangan operasi dan kecekapan baharu untuk membantu kami terus menjadi peneraju pasaran di Malaysia,” kata Ramjeet.

 

Kilang di Bandar Enstek itu akan membantu DLMI meningkatkan pengeluaran tenusu menerusi teknologi baharu yang penting kepada sektor tenusu tempatan di samping membolehkan DLMI meningkatkan operasi di pasaran serantau sejajar dengan strategi global FrieslandCampina untuk mewujudkan model perniagaan mampan jangka panjang.- DagangNews.com