Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Prestasi sektor e-dagang mencatatkan kadar pertumbuhan yang pesat sebanyak 87% di negara ini.
Laporan e-Conomy Asia Tenggara 2020 yang disediakan oleh Google, Temasek dan Bain & Company (e-Conomy SEA 2020) menyatakan, pertumbuhan positif itu memberi keseimbangan terhadap kekurangan sektor pelancongan.
"Sektor e-Dagang telah memacu kadar pertumbuhan yang pesat di Malaysia sebanyak 87%.
"Peningkatan mendadak ini telah menyeimbangkan penurunan dalam sektor pelancongan," jelas e-Conomy SEA 2020 dalam laporan bagi Malaysia yang dikeluarkan hari ini.
Dalam laporan sama, e-Conomy SEA 2020 turut menjangkakan nilai dagangan kasar (GMV) bagi tahun 2020 akan mencatatkan kenaikan.
Perkara itu dinilai berdasarkan kenaikan 6% dari tahun ke tahun.
"Secara keseluruhan, GMV 2020 dijangka mencapai jumlah nilai sebanyak AS$11.4 bilion pada tahun 2020, selepas
pertumbuhan pada kadar 6% dari tahun ke tahun.
"Menjelang tahun 2025, jangkaan keseluruhan nilai e-Ekonomi akan mencapai sebanyak AS$30 bilion, dengan CAGR (kadar pertumbuhan tahunan dikompaun) memecut semula kepada 23%," tambah laporan itu lagi.
Sementara itu, teknologi bidang kesihatan dan pendidikan turut memainkan peranan penting sewaktu tempoh pandemik.
Kedua-dua bidang berkenaan menunjukkan kadar penggunaan yang memberangsangkan, namun masih belum sempurna dan perlu diatasi sebelum dikomersialkan dalam skala yang lebih besar.
"Walau apa-apapun, peningkatan penggunaan yang mendadak, ditambah dengan pendanaan yang berkembang pesat
berkemungkinan akan menggalakkan inovasi dalam ruang ini dalam tahun-tahun yang mendatang," jelas laporan itu. - DagangNews.com