EARTH HOUR: TNB saran guna elektrik secara berhemah | DagangNews Skip to main content

EARTH HOUR: TNB saran guna elektrik secara berhemah



 

KUALA LUMPUR 28 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam usaha menyokong sambutan Earth Hour sedunia menyarankan para pengguna untuk menggunakan tenaga secara berhemah untuk masa depan yang lestari.

 

Langkah paling mudah untuk pengguna menjimatkan tenaga di kediaman mahupun premis masing-masing adalah mematikan lampu. Lebih penting lagi, faktor gaya hidup mempunyai impak yang lebih besar terharap pelepasan karbon.

 

Semua pengguna boleh menjalankan peranan mereka dalam usaha menyelamatkan planet ini menerusi pengurangan jejak karbon dengan menggunakan peralatan elektrik yang cekap tenaga serta mengamalkan penggunaan elektrik yang bijak.

 

Antara langkah-langkah mudah pengguna TNB boleh lakukan adalah dengan menetapkan sistem pendingin hawa antara 24 hingga 26 darjah Celcius di samping mematikan lampu atau peralatan bukan elektrik lain sekiranya tidak digunakan. 

 

Pelanggan juga boleh memperoleh lebih penjimatan dalam bil elektrik mereka dengan menggantikan lampu biasa dengan lampu LED yang lebih cekap tenaga di samping mengeringkan jemuran di bawah matahari, berbanding menggunakan pengering selepas mencuci pakaian.

 

KLCC

 

Sebagai sebuah syarikat utiliti yang bertanggungjawab, TNB sentiasa berusaha untuk menggunakan teknologi yang bersih dan mesra alam sekitar dalam penjanaan elektrik.

 

TNB berhasrat untuk menjadi pembekal penyelesaian tenaga mampan terkemuka di Malaysia dan di peringkat Antarabangsa. Di bawah komitment kelestarian Kumpulannya, TNB menyasarkan kapasiti penjanaan RE sejumlah 8.3 GW menjelang 2025. Kumpulan itu berhasrat untuk berhenti melabur dalam loji janakuasa arang batu baharu (greenfield) dan mengehadkan pendapatan daripada loji janakuasa arang batunya pada 25%.

 

Earth Hour adalah kempen tahunan sedunia yang dianjurkan The World Wide Fund for Nature (WWF) bagi menggalakkan individu, komuniti dan perniagaan untuk mematikan lampu elektrik bukan penting selama satu jam, bermula 8:30 sehingga 9:30 malam pada Sabtu terakhir dalam bulan Mac.

 

Earth Hour bagi tahun 2021 telah dijalankan pada Sabtu, 27 Mac 2021 jam 8:30 malam. - DagangNews.com