Eastern & Oriental catat untung bersih lebih tiga kali ganda sebanyak RM30.1 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Eastern & Oriental catat untung bersih lebih tiga kali ganda sebanyak RM30.1 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Untung bersih Eastern & Oriental Berhad bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 (3QFY22) meningkat melebihi tiga kali ganda kepada RM30.1 juta berbanding RM7.8 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, keuntungan itu disokong oleh hasil sebanyak RM81.2 juta iaitu peningkatan hampir empat kali ganda berbanding RM23.38 juta pada 3QFY22.

 

Bagi tempoh 9MFY23, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM28.45 juta, berbanding kerugian bersih RM15.26 juta dalam tempoh bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, peningkatan itu disebabkan oleh segmen hartanah yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM116.6 juta dan segmen hospitaliti yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM50.7 juta.

 

Kumpulan itu juga melaporkan hasil sebanyak RM252.77 juta, iaitu 201.7% lebih tinggi daripada RM83.79 juta pada tempoh tahun lalu, bersandarkan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada segmen hartanah dan hospitaliti, kos kewangan yang lebih rendah dan kerugian yang lebih rendah daripada bahagian keputusan bersama usaha niaga.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Kok Tuck Cheong berkata, pihaknya berbangga kerana berjaya mengubah keputusan kewangan sembilan bulan daripada kerugian bersih pada 2022 kepada untung bersih.

 

Beliau yakin bahawa pihaknya menggunakan sytrategi yang betul dan berharap dapat mengekalkan prestasi cemerlang itu.

 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pembeli atas keyakinan mereka terhadap The Meg, yang mengesahkan komitmen kami untuk melancarkan lebih banyak projek menarik dalam masa terdekat di Pulau Andaman Fasa 1.

 

"Selain itu, Lincoln Suites di London juga mengekalkan kadar penghunian yang tinggi dan kadar purata bilik.

 

"Kami mengaitkan kejayaan ini dengan lokasi yang ideal dan kualiti tawaran hotel dalam pasaran yang sangat kompetitif di Pulau Pinang dan London," katanya. - DagangNews.com