Eco World Development Group sasar kekal margin untung kasar melebihi 20% walaupun berdepan cabaran ekonomi | DagangNews Skip to main content

Eco World Development Group sasar kekal margin untung kasar melebihi 20% walaupun berdepan cabaran ekonomi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Eco World Development Group Berhad menyasarkan untuk mengekalkan margin keuntungan kasar melebihi 20% walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi semasa termasuk kenaikan kadar faedah selain kos bahan mentah.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu juga sedang mencari bank tanah baharu untuk meningkatkan jumlah baki nilai pembangunan kasar mereka yang berbaki RM57 bilion.

 

"Kami menjangkakan, margin itu boleh dicapai selepas mengambil kira inovasi produk (harga yang lebih tinggi bagi setiap kaki persegi tetapi kawasan yang lebih kecil) dan perbelanjaan pemasaran yang berhemah.

 

"Jenama yang kukuh merupakan faktor terpenting bagi membolehkan kumpulan menentukan harga dalam situasi pasaran yang lemah. 

 

"Pada masa sama, kumpulan itu memberi bayangan bahawa masalah kekurangan tenaga pekerja berjaya diuruskan dengan baik dan semua tapak pembinaan menunjukkan kemajuan seperti dirancang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, untung teras bersih (CNP) kumpulan itu bagi 9MFY22 berjaya mencapai jangkaan hasil daripada pelupusan hotel di Bukit Bintang City Centre (BBCC) pada harga RM295 juta.

 

"Kami mennyukai kumpulan itu kerana kekuatan jenama selain struktur kos yang menarik membolehlan mereka terus meraih jualan positif dan pada masa sama mengekalkan margin keuntungan walaupun berdepan landskap industri yang mencabar," katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan sama bagi FY22 tetapi menyemak naik unjuran pendapatan FY23 sebanyak 3% hasil daripada peningkatan sasaran jualan sebanyak RM3.9 bilion berbanding RM3.3 bilion sebelum ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran tidak berubah 83 sen sesaham. - DagangNews.com