Ecofirst Consolidated lupus tanah bernilai RM34 juta di Bukit Raja kepada HCK Estates bagi kukuh kedudukan kewangan kumpulan | DagangNews Skip to main content

Ecofirst Consolidated lupus tanah bernilai RM34 juta di Bukit Raja kepada HCK Estates bagi kukuh kedudukan kewangan kumpulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - Ecofirst Consolidated Bhd akan melupuskan sebidang tanah di Bukit Raja, Selangor dengan pertimbangan tunai sebanyak RM34 juta bagi mengukuhkan kecairan dan kedudukan kewangan kumpulan.


​ 
Ecofirst dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikatnya EcoFirst Worldwide Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan HCK Estates Sdn. Bhd. bagi penjualan tanah seluas 1.93 hektar.

 
Dengan harga jualan atas dasar 'seadanya', ia dijangka melegakan tekanan besar kepada aliran tunai kumpulan berbanding mengekalkan tanah itu untuk pembangunan yang berpotensi merugikan mereka. 

 

"Harga jualan yang dicadangkan berkemungkinan perlu dikurangkan bagi membolehkan harga yang ditawarkan berdaya saing dengan pemaju lain di kawasan yang sama dan akan mengakibatkan kerugian. 

 

"Cadangan pelupusan itu akan melepaskan kumpulan itu daripada beban ansuran bulan pinjaman," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, sebahagian daripada hasil pelupusan itu akan digunakan untuk modal kerja am termasuk operasi harian merangkumi pembayaran kos kaitangan, bayaran kepada pembekal, perbelanjaan overhed, sewa dan utiliti.

 

Mereka juga dijangka menggunakan sepenuhnya hasil jualan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh siap SPA.

 

"Pecahan hasil yang akan digunakan untuk setiap komponen modal kerja am belum ditentukan pada ketika ini.

 

"Penggunaan sebenar bagi setiap komponen modal kerja am mungkin berbeza pada masa penggunaan," katanya.- DagangNews.com