Econframe beli aset Suria Kaca bernilai RM3 juta  | DagangNews Skip to main content

Econframe beli aset Suria Kaca bernilai RM3 juta 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept - Econframe Berhad memeterai perjanjian pembelian asset (APA) bersama Suria Kaca Sdn Bhd untuk membeli mesin dan kenderaan bermotor pada harga RM3 juta.

 

Menurut perjanjian itu, Econframe, melalui anak syarikatnya, Duroe Glass Sdn Bhd akan membayar RM2,996,500 secara tunai kepada penama yang dilantik oleh Suria Kaca iaitu Sim Han Kai.

 

Kata Econframe, baki RM3,500 pula akan dibayar melalui penerbitan dan peruntukan 3,500 atau 35% saham biasa baharu Duroe Glass. 

 

Econframe berkata, pertimbangan pembelian itu telah dibuat dasar ‘pembeli sanggup, penjual rela’ selepas mengambil kira nilai pasaran saksama aset seperti yang dinilai oleh firma penilai bebas.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Econframe, Lim Chin Horng berkata, pembelian itu melengkapkan perniagaan kaca aluminium dan kerja fasad syarikat, Lee dan Yong Aluminium Sdn Bhd (LYASB).

 

"Dengan menubuhkan unit pemprosesan kaca dalaman, ia akan mengurangkan pergantungan kami kepada vendor pihak ketiga serta mendapat kawalan yang lebih baik ke atas kos pengeluaran. 

 

"Ini bukan sahaja strategik, kerana ia meningkatkan rantaian nilai kami, tetapi masanya juga sesuai memandangkan buku pesanan LYASB yang berkembang berikutan projek baharu,” ujar beliau. 

 

Menurut Econframe, setelah selesai cadangan pembelian aset Suria Kaca, syarikat itu akan berhenti mempunyai sebarang aktiviti perniagaan dan Sim akan menyertai Duroe Glass sebagai Pengarah Eksekutif.

 

Econframe akan memiliki 65% saham dalam Duroe Glass dan Sim memegang baki 35%.

 

Sementara itu, Econframe berkata, cadangan pembelian aset itu dijangka siap pada suku ketiga 2024.- DagangNews.com