KUALA LUMPUR 10 Mei - Econpile Holdings Berhad berdepan risiko pengurangan margin keuntungan selepas kadar pertambahan tempahan dilihat lebih lemah berbanding jangkaan selain peningkatan harga bahan mentah dan kos tenaga kerja.
Malacca Securities berkata, kadar pelaksanaan projek yang lebih perlahan daripada jangkaan juga boleh menghalang kecekapan Econpile untuk menggunakan jentera sedia ada untuk tempahan kerja akan datang.
Katanya, sebelum ini Econpile menerusi anak syarikatnya, Econpile (M) Sdn. Bhd. meraih projek daripada Domain Resources Sdn. Bhd. untuk menjalankan kerja-kerja substuktur untuk fasa 1 dan 2 perumahan mampu milik di Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur bernilai RM37.4 juta untuk tempoh 15 bulan bermula 5 Mei 2022.
Projek itu merupakan kontrak ketiga terbesar yang diraih Econpile untuk FY22f dan sehinggan kini kadar tempahan mereka berada pada para 77.7% atau RM155.4 juta berbanding jangkaan RM200 juta yang diunjurkan firma itu sebelum ini.
"Walaupun jumlah itu masih belum mencapai unjuran yang ditetapkan, mereka masih memiliki baki dua bulan sebelum FY22F tamat dan kami percaya projek yang diraih itu akan bergerak selari dengan proses pemulihan ekonomi pada 2H22.
"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati dengan kenaikan kos bahan binaan (peningkatan hamoir 50% kepada kos struktur Econpile) yang akan menjadi cabaran besar untuk industri pembinaan yang kini beroperasi dengan margin keuntungan yang sangat rendah sejak beberapa tahun lalu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, walaupun terdapat kemungkinan yang sangat tipis untuk mencapai unjuran tempahan yang ditetapkan, mereka kekal dengan unjuran pendapatan selain menjangkakan keputusan kewangan bagi 3QFY22 akan dikeluarkan pada hujung bulan ini.
Selepas mengambil kira keadaan semasa, firma itu menyemak semula penarafan mereka kepada 'beli' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM0.32. - DagangNews.com