Econpile dijangka raih manfaat dengan pembukaan sektor pembinaan  | DagangNews Skip to main content

Econpile dijangka raih manfaat dengan pembukaan sektor pembinaan 

 

 

KUALA LUMPUR 20 0gos - Perolehan kontrak terbaharu Econpile Holdings Bhd. menerusi anak syarikatnya, Econpile (M) Sdn. Bhd. mencerminkan peluang yang terbuka luas buat kumpulan terutama apabila sektor pembinaan dibenarkan beroperasi semula.


 
Semalam, Econpile memaklumkan ia memperoleh kontrak bernilai RM22.69 juta daripada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

 

Kontrak itu untuk menjalankan kerja tanah, cerucuk, infrastruktur dan kerja-kerja berkaitan bagi pembinaan pusat rekreasi dan aktiviti setinggi 7 tingkat di Setapak, Kuala Lumpur.

 

Malacca Securities Research berkata, ia merupakan kontrak pembinaan pertama yang dijamin diperoleh Econpile bagi tahun kewangan 2022. 

 

Katanya, nilai projek semasa merangkumi 4.5% daripada jangkaan mereka iaitu RM500 juta tahun ini. 

 

"Kami yakin lebih banyak peluang menanti terutamanya menjelang akhir tahun ini sejajar dengan pembukaan semula sektor pembinaan apabila lebih ramai penduduk sudah menerima vaksin. 

 

"Ini secara tidak langsung membolehkan kerja-kerja pembinaan dijalankan pada skala yang lebih besar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kontrak yang diperoleh itu membabitkan tempoh selama 10 bulan dengan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada September 2021.

 

Econpile berkata, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil dan pendapatan syarikat bermula tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 dan tahun-tahun seterusnya.

 

Mengenai tempoh kontrak itu, Malacca Securities berkata, ia akan menyumbang kira-kira 10 hingga 15% kepada margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA). 

 

"Secara dasarnya, ia adalah lebih rendah sedikit berbanding purata margin bagi kerja-kerja cerucuk dalam projek pembinaan hartanah bertingkat.

 

"Anggaran ini disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan operasi serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang masih berlarutan," jelasnya.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran pendapatan memandangkan nilai projek memenuhi jangkaan mereka.  

 

Bagaimanapun, disebabkan harga saham yang lemah, ia menaikkan saranan kepada 'beli' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran tidak berubah pada 44 sen. - DagangNews.com