KUALA LUMPUR 20 Mei - Econpile Holdings Berhad memperoleh kontrak bernilai RM91.3 juta bagi kerja-kerja cerucuk dan substruktur untuk Pavilion Square dan The Cedar, menurut kenyataannya hari ini.
Daripada jumlah itu, syarikat yang terlibat secara khusus dalam kerja asas dan cerucuk itu memperoleh kontrak berjumlah RM64.3 juta untuk Pavilion Square dari Messrs Armani Hartajaya Sdn. Bhd.
Kontrak itu membabitkan menara blok pejabat dengan 2 tingkat tempat letak kenderaan dan pangsapuri servis dengan podium letak kereta.
Dengan tempoh kontrak selama 16 bulan bermula Ogos 2021 hingga Disember 2022, ia dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 dan 2023.
Selain itu, Econpile juga memperoleh kontrak bernilai RM27.1 juta dari Satin Magic Sdn. Bhd. untuk melaksanakan kerja-kerja asas dan substruktur untuk The Cedar Damansara Heights.
Dijangka bermula Jun 2021, kontrak selama 15 bulan ini akan menyumbang secara positif kepada kewangan kumpulan bagi 2022 dan 2023.
The Cedar adalah kondominium mewah 7 tingkat beserta 3 tingkat tempat letak kereta.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Econpile, Raymond Pang berkata, kedua-dua projek itu menjadikan nilai kontrak syarikat setakat ini berjumlah RM512 juta.
"Ini melebihi sasaran awal kami untuk memperoleh RM500 juta projek seperti yang diunjurkan pada awal tahun," katanya.
Nilai projek Econpile kini hampir berjumlah RM820 juta yang membolehkan kumpulan bertahan bagi tempoh 2 tahun.
"Tambahan pula, projek kami di Malaysia dan Kemboja sedang berjalan lancar dengan sedikit sahaja gangguan di sebalik persekitaran pandemik yang mencabar," tambah beliau. - DagangNews.com