Econpile raih kontrak substruktur bernilai RM43.4 juta bagi dua pangsapuri servis di Bukit Jalil | DagangNews Skip to main content

Econpile raih kontrak substruktur bernilai RM43.4 juta bagi dua pangsapuri servis di Bukit Jalil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Econpile Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Econpile Sdn. Bhd. menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Konzepte + Design Architects bagi menyempurnakan kerja-kerja substruktur bernilai RM43.4 juta untuk dua blok pangsapuri servis di Bukit Jalil.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu melibatkan kerja-kerja di dalam kawasan pembangunan komersial sedia ada yang terdiri daripada blok pusat beli-belah lima tingkat dengan dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah, di luar Lebuhraya Bukit Jalil.

 

"Projek itu perlu disiapkan dalam tempoh 15 bulan daripada tarikh mula kerja yang akan dimaklumkan kemudian.

 

"Projek itu juga dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan ke atas," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, tiada risiko ketara yang boleh dijangka selain daripada risiko operasi yang berkaitan dengan projek semasa tempoh kontrak.

 

Pihak pengurusan akan melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi untuk mengurangkan kesan atau kemungkinan kejadian tersebut. - DagangNews.com