Econpile raih projek kerja-kerja cerucuk pembangunan pangsapuri bernilai RM20.8 juta di Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Econpile raih projek kerja-kerja cerucuk pembangunan pangsapuri bernilai RM20.8 juta di Kuala Lumpur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Econpile Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Econpile (M) Sdn. Bhd. menerima surat anugerah daripada Bangsar Hill Park Development Sdn. Bhd. bagi menjalankan kerja-kerja tanah dan cerucuk sebuah pangsapuri bernilai RM20.8 juta di Lorong Maarof Kuala Lumpur.

 

Projek itu melibatkan kerja-kerja cerucuk, penutup cerucuk, papak bawah tanah (B1) dan kerja tanjakan konkrit bertetulang Fasa 1B1, Blok B – blok pangsapuri 62 tingkat dengan 410 unit dan Fasa 1B2 (Blok C) – blok pangsapuri 49 tingkat dengan 392 unit at Lot 365, Lorong Maarof, Kuala Lumpur.

 

"Tempoh keseluruhan projek ialah 10.5 bulan bermula 6 Mei 2023.

 

"Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Syarikat dari tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 dan seterusnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa MAlaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, tiada risiko ketara yang boleh dijangka selain daripada risiko operasi yang berkaitan dengan projek semasa tempoh kontrak. - DagangNews.com