Econpile, SKL bekerjasama bina projek lebuh raya bertingkat sepanjang Sungai Klang | DagangNews Skip to main content

Econpile, SKL bekerjasama bina projek lebuh raya bertingkat sepanjang Sungai Klang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Nov - Econpile Holdings Berhad memeterai MEmorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan kerjasama dengan Sungai Klang Link Sdn. Bhd. (SKL) bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan projek lebuh raya bertingkat bagi Kerajaan Malaysia.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lebuh raya yang dicadangkan menjangkau 53km dan dijajarkan di sepanjang Sungai Klang di Lembah Klang, yang akan disepadukan dengan rangkaian lebuh raya sedia ada melalui tujuh cadangan persimpangan bermula dari Klang dengan akses melalui persimpangan Lebuhraya Pantai Barat dan berakhir di pertukaran Lebuhraya Pantai Baru 2 (NPE 2).

 

Cadangan kerjasama itu memerlukan anak syarikat kumpulan itu, Econpile (M) Sdn. Bhd. menggunakan kepakarannya bagi merancang, membina, menyiapkan dan menyediakan sepenuhnya perkhidmatan, tenaga kerja, bahan, mesin dan peralatannya seperti yang diperlukan untuk kerja-kerja pembinaan projek lebuh raya bertingkat.

 

Kerja-kerja pembinaan termasuk tetapi tidak terhad kepada kerja-kerja cerucuk, pilecap dan asas.

 

SKL merupakan pihak yang mencadangkan projek lebuh raya bertingkat kepada kerajaan dan sedang mencari hak untuk membina, memiliki dan mengendalikannya sebagai pemegang konsesi. Lebuh raya yang dicadangkan sedang dalam peringkat akhir kelulusan oleh kerajaan.

 

Berdasarkan permintaan SKL, Econpile telah menyediakan input geoteknikal konseptual kepada SKL termasuk memberi cadangan kejuruteraan geoteknik dan bajet projek untuk reka bentuk dan pembinaan sistem asas untuk lebuh raya yang dicadangkan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Econpile, Raymond Pang berkata, pihaknya memiliki rekod prestasi kukuh selama lebih 30 tahun dalam kerja-kerja cerucuk termasuk kerja-kerja infrastruktur.

 

Beliau berkata, pengalaman itu memberikan mereka pemahaman yang mendalam tentang rupa bumi dan ciri-ciri tanah di Lembah Klang, memberikan mereka kelebihan untuk menyumbang bagi pembangunan projek lebuh raya itu.

 

"Dengan rangkaian jentera kami yang luas, kami bersedia untuk memberikan kepakaran kami untuk projek itu dan sejajar dengan matlamat alam sekitar dan kemampanan SKL," katanya. - DagangNews.com