Ecoscience International terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Ecoscience International terima kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 April - Penyedia perkhidmatan pengilangan minyak sawit bersepadu Ecoscience International Bhd (EIB) telah mendapat kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Pengarah Urusan EIB, Wong Choi Ong  berkata, sejak 17 tahun lalu, syarikat itu mencipta prestasi cemerlang dalam melaksanakan pelbagai projek pembinaan untuk industri minyak sawit.

 

"Kami berbangga kerana berjaya menyediakan penyelesaian sehenti kepada ladang kelapa sawit dan pemilik kilang kelapa sawit, terutamanya dengan keupayaan fabrikasi dalaman yang membolehkan kami menyesuaikan penyelesaian berdasarkan keperluan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

EIB menyasarkan untuk disenaraikan pada suku ketiga 2022 dengan Hong Leong Investment Bank Berhad menjadi penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).

 

Choi Ong berkata, penyenaraian itu akan membolehkan EIB memanfaatkan pasaran modal ekuiti untuk mengumpul dana dan memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan korporat mereka.

 

"Hasil penyenaraian itu akan membantu kami menyediakan segala keperluan untuk mempercepatkan rancangan pengembangan kami," katanya

 

Sejak ditubuhkan pada 2004, EIB merupakan penyedia penyelesaian sehenti dan kontraktor pembinaan kilang dan kemudahan minyak sawit yang memiliki keupayaan menjalankan kerja-kerja fabrikasi peralatan kilang kelapa sawit.

 

Selain itu mereka juga memiliki perkhidmatan lain seperti pembekalan bahan, peralatan dan alat ganti serta perkhidmatan penyelenggaraan.

 

EIB juga memiliki pengalaman industri selama 17 tahun melibatkan projek di Gabon, Malaysia, Indonesia, Liberia dan India. - DagangNews.com