ECRL mampu pacu semula kontrak pembinaan IJM Corp yang malap | DagangNews Skip to main content

ECRL mampu pacu semula kontrak pembinaan IJM Corp yang malap

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Prospek IJM Corp. Bhd. dalam sektor pembinaan dilihat suram berikutan pelancaran projek mega infrastruktur yang masih tidak menentu ketika ini terutama menantikan pembentangan Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

 

Public Investment Bank Research melihat penambahan nilai projek masih kurang memberangsangkan meskipun kumpulan mengekalkan sasaran memperoleh kontrak baharu sebanyak RM2 bilion bagi tahun kewangan 2022.

 

Firma itu bagaimanapun meletakkan unjuran lebih rendah sekitar RM1.5 bilion ekoran penangguhan beberapa projek mega setelah mengambil kira kurangnya kerja-kerja membabitkan sektor swasta, perbelanjaan kerajaan yang ketat dan persaingan sengit ketika ini. 

 

Setakat ini, katanya, kumpulan telah mendapatkan RM586 juta nilai projek atau 40% daripada unjuran yang dibuatnya. 

 

"Tetapi, kami berpendapat sebarang peningkatan kepada anggaran kami, sebahagian besarnya datang daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pelaksanaan projek mega infrastruktur awam.

 

"Selain itu, penyambungan semula projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) juga akan memberi kelebihan kepada IJM Corp," katanya dalam nota kajian. 

 

Menerusi taklimat dengan kumpulan tersebut baru-baru ini, PublicInvest mendapati nilai projek dalam tangan setakat 30 Jun 2021 adalah sebanyak RM4 bilion, mencukupi untuk menampung pendapatan bagi tempoh 2 hingga 3 tahun. 

 

Malah, dengan pelupusan IJM Plantations Bhd. pada akhir Ogos 2021 sebanyak RM1.5 bilion dapat membantu mengurangkan gearan bersih kumpulan daripada 0.4x setakat 30 Jun 2021 kepada kira-kira 0.22x.

 

"Ini membolehkan kumpulan mengukuhkan imbangan tunainya untuk bersaing dengan lebih baik dalam landskap yang dipacu inisiatif pembiayaan swasta (PFI) pada masa akan datang," tambahnya.

 

Pada masa sama, katanya, segmen hartanah kumpulan akan terus mendapat manfaat daripada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dengan jualan hartanah lebih tinggi terutama bagi kediaman bertanah.

 

Sebelum ini, segmen tersebut mampu mencapai jualan sebanyak RM700 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022, mewakili 40% daripada jumlah jualan bagi tahun kewangan 2021. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan jualan hartanah bagi suku kedua mungkin berkurangan disebabkan sekatan pergerakan dan operasi pembinaan yang terhenti, sebelum permintaan terpendam (pent-up demand) kembali pulih apabila galeri jualan dibuka semula awal September ini," jelas firma berkenaan.

 

Dalam pada tu, PublicInvest berkata, gangguan rantaian bekalan kekal menjadi risiko dalam tempoh jangka masa pendek meskipun kadar vaksinasi tenaga kerja kumpulan melebihi 90%.

 

Katanya, kekangan itu berlaku disebabkan pembekal memerlukan tempoh masa tertentu untuk meningkatkan proses pengeluaran pada ketika permintaan pula semakin meningkat.

 

"Bagaimanapun, kami dapati situasi ini dapat bertahan sehingga suku kedua tahun kewangan 2022 sebelum kembali normal pada separuh kedua," katanya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham IJM Corp dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2. 

 

Setakat 11.26 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen kepada RM1.82 dengan 1.09 juta saham diniagakan. - DagangNews.com