ECRL mungkin terjejas lagi, jika kerajaan bertukar | DagangNews Skip to main content

ECRL mungkin terjejas lagi, jika kerajaan bertukar

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 2 April - Suasana politik yang tidak menentu dan perbalahan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), adalah antara faktor yang mempengaruhi sektor pembinaan negara ketika ini. 

 

Apatah lagi, ketika pentadbiran negara bertukar pada PRU-14, beberapa projek mega yang dilaksanakan kerajaan sebelumnya turut disemak semula. 

 

Antaranya, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan Januari lalu menyaksikan kerajaan perlu membayar pampasan sebanyak RM320 juta kepada Singapura.

 

Namun, Kenanga Research berpendapat, tidak mungkin berlaku rundingan semula yang drastik atau menangguhkan projek yang sedang berjalan atau projek baharu sekiranya kerajaan bertukar dalam pilihan raya kali ini meskipun terdapat kebimbangan ia akan menjejaskan sentimen. 

 

Keadaan ini tidak sama seperti 2018, tambahnya lagi.

 

"Cuma satu-satunya projek yang mungkin terkesan ialah Seksyen C Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Mentakab ke Pelabuhan Klang. 

 

"Laluan jajaran ini telah berubah-ubah mengikut kesesuaian kerajaan yang memerintah," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Ketika ini, projek ECRL berdepan bantahan Exco Selangor yang tidak bersetuju dengan cadangan penjajaran semula ECRL yang hanya akan melewatkan projek mega membabitkan Seksyen C dan ia berpotensi mengubah tarikh siap projek secara keseluruhan yang dijangka pada Disember 2026.

 

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor menyokong projek ECRL tetapi mempertahankan pendiriannya supaya rangkaian kereta api itu melintasi menggunakan laluan selatan melintasi Negeri Sembilan dan Putrajaya daripada penggunaan laluan utara melalui Gombak dan Serendah seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan baru-baru ini .

 

Susulan itu, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco itu sangat mengecewakan terutama selepas MRL sebagai pemilik projek telah melakukan banyak sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri Selangor dan agensinya sejak Jun 2020 hingga Februari tahun ini mengenai pelan untuk kembali kepada penjajaran asal.

 

MRL juga akan membawa isu tersebut ke mesyuarat Jemaah Menteri memandangkan kelewatan Kerajaan Selangor membuat keputusan berhubung pelaksanaan projek itu menyebabkan MRL menanggung kerugian RM1.25 juta sehari.

 

Secara dasarnya, projek ECRL ini dibangunkan di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional melibatkan laluan sepanjang 688 kilometer dengan kos berjumlah RM55 bilion. 

 

Menurut Kenanga Research, selain isu politik, masih wujud beberapa faktor yang menyebabkan sektor pembinaan masih ketinggalan berbanding sektor-sektor lain yang mula bangkit semula daripada pandemik COVID-19. 

 

"Antaranya, kenaikan harga besi, kewangan kerajaan yang meningkat, kekangan buruh asing dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang tidak dijangka," katanya. 

 

Jelasnya, kenaikan 30% harga keluli panjang daripada RM2,100 kepada RM2,700 satu tan metrik  sejak awal tahun ini mungkin memberi sedikit tekanan kepada kontraktor. 

 

"Tetapi, kenaikan ini masih terurus memandangkan penggunaan keluli yang tinggi hanya diperlukan di peringkat struktur pembinaan," katanya.

 

Bagaimanapun, menurutnya, pemacu utama sektor ini menerusi kontrak dan pengumuman Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) masih lagi sama-samar memandangkan tumpuan kerajaan kini untuk memerangi pandemik COVID-19. 

 

Firma itu berkata, program vaksinasi yang digerakkan kerajaan sejak 24 Februari lalu akan meningkatkan semula keyakinan terhadap sektor pembinaan. 

 

"Selain itu, kami melihat aliran kontrak akan kembali meningkat disebabkan tertangguh akibat pandemik ini dan pelaksanaan projek mega. 

 

"Kami percaya projek domestik utama akan terus meningkat terutama selepas pembentangan RMK-12 apabila Parlimen kembali bersidang," katanya. 

 

Antara pembangunan projek yang menjadi tumpuan tahun ini termasuklah MRT3, PTMP, Pan Borneo Sabah, Sabah Sarawak Link Road, Rasau Treatment Plant, Rapid Transit System (RTS) dan Seksyen C ECRL. - DagangNews.com